Am 07/09/2026 11:12 AM

Shopee Raikan Juara Lokal Malaysia Dalam Penyertaan Sulung Perarakan Hari Kebangsaan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Shopee Raikan Juara Lokal Malaysia Dalam Penyertaan Sulung Perarakan Hari Kebangsaan
Kredit: Shopee

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Platform e-dagang terkemuka, Shopee melakar sejarah tersendiri apabila menyertai perarakan Hari Kebangsaan 2026 buat julung kalinya pada 31 Ogos lepas menerusi kontinjen yang meraikan sumbangan usahawan tempatan dan penggerak ekonomi digital negara.

Shopee dalam kenyataan memaklumkan kontinjen tersebut turut menghidupkan semangat ‘Shopee Juara Lokal’ menerusi kempen Merdeka Shopee yang melibatkan usahawan tempatan, pencipta kandungan digital serta warga kerja yang menyokong perkembangan ekonomi digital Malaysia.

Kontinjen Shopee itu diketuai usahawan terkenal Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman manakala pencipta kandungan Muhammad Noor Zakaria atau lebih dikenali sebagai MadNor diberi tanggungjawab sebagai pembawa bendera, selain disertai 45 warga kerja daripada pelbagai jabatan.

"Penyertaan sulung Shopee dalam perarakan kebangsaan ini bukan sekadar meraikan semangat cintakan negara, malah juga sebagai tanda penghargaan kepada para usahawan tempatan dan komuniti yang telah berkembang bersama Shopee sepanjang perjalanannya di Malaysia," menurut kenyataan itu. 

Sementara itu, Ketua Dasar Awam dan Hal Ehwal Luar Shopee Malaysia, Nik Emir Nik Din berkata penyertaan sulung dalam perarakan Hari Kebangsaan itu menjadi kesempatan untuk meraikan komuniti dan menghargai semangat keusahawanan rakyat Malaysia.

Beliau berkata seiring dengan kemajuan negara, Shopee mahu terus berperanan membantu lebih ramai usahawan tempatan memperkukuh keupayaan, mencapai lebih ramai pelanggan dan mengembangkan lagi aspirasi mereka.

"Kejayaan mereka bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital malah juga memberikan kesan kepada komuniti dan sumber kehidupan di sekeliling mereka. 

"Melihat seorang usahawan, seorang pencipta kandungan dan warga kerja kami sendiri berarak bersama-sama menjadikan detik ini lebih bermakna kerana, dalam cara masing-masing, mereka mewakili komuniti yang telah berkembang bersama Shopee di Malaysia," katanya. 

Sementara itu, Aliff Syukri yang juga pengasas jenama kesihatan dan kecantikan D’Herbs berkata ketika berada dalam barisan perarakan, semua peserta ialah rakyat Malaysia yang bersama-sama meraikan Hari Kebangsaan tanpa mengira jawatan atau latar belakang.

“Selama ini, saya hanya berpeluang menyaksikan perarakan sebagai penonton. Jadi, apabila akhirnya dapat merasai sendiri pengalaman ini, sememangnya satu pengalaman yang sangat istimewa,” katanya.

Bagi MadNor pula, beliau tidak pernah terfikir perjalanannya dalam dunia digital dan penciptaan kandungan akan membawanya ke pentas perarakan Hari Kebangsaan. 

“Berarak bersama-sama rakyat Malaysia lain dalam kontinjen Shopee membuatkan saya rasa seperti mewakili semua yang berani mencuba, percaya pada diri sendiri dan berani mengejar impian yang lebih besar. Bagi saya, itulah Malaysia, rakyat biasa yang mampu melakukan perkara luar biasa,” katanya.

Dalam pada itu, warga kerja Shopee, Thines Kumar menyifatkan pengalamannya berarak bersama-sama rakan sekerja dan rakyat Malaysia yang lain sebagai satu kenangan yang tidak akan dilupakan.

Bagi Delphinie Chan yang membantu menyelaras kontinjen tersebut, beliau menyifatkan usaha dan kerja keras semua pihak yang direalisasikan pada hari perarakan itu sebagai sesuatu yang benar-benar memberi inspirasi.

Seorang lagi peserta, Zulaikha Zainul berkata penyertaannya dalam perarakan itu berjaya merealisasikan hasrat yang telah lama disimpan untuk menjadi sebahagian daripada sambutan Hari Kebangsaan.

“Saya memang sudah lama teringin untuk menyertai perarakan Merdeka. Ia benar-benar satu pengalaman sekali seumur hidup dan cara yang istimewa untuk saya menghayati semangat Merdeka,” katanya.

-- BERNAMA