KANGAR, 30 Ogos (Bernama) -- Rakyat yang benar-benar merdeka ialah mereka yang mampu berfikir secara matang dan beretika serta menggunakan kebebasan dengan penuh tanggungjawab, titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Justeru, Tuanku Syed Sirajuddin menyeru rakyat negeri Perlis khususnya generasi muda agar terus menuntut ilmu, menguasai kemahiran baharu dan membina jati diri serta memelihara nilai agama dan budaya yang menjadi warisan.
“Saya percaya, ilmu tanpa akhlak tidak akan melahirkan insan sempurna, manakala kemajuan tanpa integriti tidak akan menjamin kesejahteraan yang berkekalan.
“Jadilah generasi berilmu, berkemahiran, berakhlak dan berintegriti serta bersedia menyumbang kepada kemajuan Perlis dan Malaysia,” titah baginda sempena majlis sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini malam ini.
Berangkat sama Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Selain itu, Raja Perlis turut menyeru seluruh warga Perlis supaya terus menjadikan Rukun Negara dan keluhuran Perlembagaan sebagai pedoman dalam kehidupan bermasyarakat.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah baginda amat menghargai kesetiaan, rasa hormat dan kasih sayang rakyat jelata yang sentiasa menjadi kekuatan dalam memelihara keharmonian negeri itu.
“Perpaduan merupakan kekuatan sesebuah bangsa. Daripada perpaduan lahir keamanan dan kestabilan, dan daripada keamanan serta kestabilan lahirlah kemajuan dan kesejahteraan. Keamanan dinikmati hari ini bukanlah sesuatu yang datang dengan sendirinya.
“Semoga negara dan negeri kita terus dikurniakan keamanan, kemakmuran, kestabilan dan kedaulatan yang berkekalan. Semoga rakyat negeri Perlis dikurniakan kesihatan yang baik, rezeki berkat, kehidupan sejahtera serta perpaduan yang utuh,” titah baginda.
-- BERNAMA