Daripada Abdul Hamid A Rahman
GUIYANG (China), 30 Ogos (Bernama) -- Pengalaman selaku wartawan Malaysia yang ditugaskan membuat liputan mengenai ekonomi digital Guiyang ketika bulan kemerdekaan negara, mendedahkan bahawa iktibar pertama mengenai kehidupan di salah sebuah bandar teknologi di China ini bukannya di dalam makmal kecerdasan buatan (A), pusat data mahupun kenderaan autonomi.
Sebaliknya ini bermula dengan sebuah pengecas mudah alih.
Cabaran Kecil
Peranti milik saya dirampas sebelum penerbangan domestik dari Guangzhou ke Guiyang atas alasan tidak mempunyai pensijilan yang diperlukan untuk perjalanan udara domestik — sesuatu yang asing bagi saya sebelum memulakan perjalanan.
Ini mungkin kesilapan kecil di pihak saya, namun jelas menjadi peringatan walaupun dalam dunia saling terhubung, peraturan tempatan sama sekali tidak boleh diketepikan.
Mujurlah, penyelesaiannya juga pantas.
Sejurus tiba di lapangan terbang Guiyang, Wang Hao daripada media People’s Daily Online dan Zhang Luping atau mesra disapa “Loopy” iaitu penuntut pascasiswazah bidang terjemahan bahasa Inggeris yang menjadi penterjemah kami sepanjang lawatan, adalah antara yang menyambut kumpulan wartawan asing, termasuk saya.
Mereka memberi pengecas mudah alih baharu kepada saya -- tanda keprihatinan kecil namun kemudiannya terbukti bermakna dalam perjalanan yang bakal ditempuh.
Saya tiba di Guizhou sebagai antara peserta program media anjuran People’s Daily Online bersempena China International Big Data Industry Expo 2026 dengan jangkaan menyelami bagaimana data raya, AI dan teknologi digital lain sedang mengubah wajah landskap wilayah itu.
Di luar jangkaan saya ialah bagaimana transformasi itu sering terserlah bukan melalui pembentangan atau penerangan teknikal, sebaliknya dalam sela masa antara satu lawatan rasmi ke lawatan lain selain beberapa pengalaman yang turut membuatkan saya teringat tanah air sendiri.
Daripada sisi pengalaman pengecas mudah alih yang dirampas, pembelian tanpa tunai di gerai jalanan, menaiki kenderaan autonomi dan bersiar pada waktu malam di Guiyang, perjalanan ini berubah daripada sekadar memerhati teknologi dari jauh kepada mengalami sendiri erti kemudahan apabila teknologi menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian.
Salah seorang yang membantu saya memahami kehidupan seharian di Guiyang adalah Loopy yang sememangnya anak jati bandar itu dan kini mengikuti pengajian peringkat sarjana dalam bidang terjemahan Bahasa Inggeris di Guizhou University selepas tamat ijazah pertama universiti sama.
Bagi Loopy, kampung halamannya itu tepat digambarkan dalam tiga perkataan: selesa, mesra dan bertenaga.
“Guiyang pesat berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Industri berteknologi tinggi dan digital berkembang pesat, khususnya dalam bidang berkaitan data raya dan AI.
“Bagi saya, Guiyang kini menjadi tempat sesuai untuk belajar, bekerja dan membina masa depan,” katanya.
Teknologi Dalam Kehidupan Harian
Bagi seorang pengunjung, antara petanda jelas perubahan itu tidak perlukan banyak penjelasan.
Ada masanya, saya melihat Loopy menyewa pengecas mudah alih daripada sebuah stesen kemudahan itu yang dikembalikan pada satu lokasi lain dikendalikan syarikat sama.
Pengguna membayar mengikut tempoh penggunaan, namun tarikannya jelas; tidak perlu bawa peranti itu sepanjang hari atau bimbang kemungkinan kehabisan bateri ketika berada dalam bandar itu.
Ini realiti biasa bagi Loopy, tapi bagi saya, ini pengalaman kecil yang bermakna selepas pengecas mudah alih sendiri dirampas di lapangan terbang.
“Teknologi ada di mana-mana. Seperti pengecas mudah alih yang anda lihat di jalanan atau di kedai. Boleh pinjam di satu tempat dan kembalikan di lokasi lain. Memang memudahkan,” kata Loopy.
Di sudut lain, sistem pengangkutan turut menjadi bukti bagaimana kehidupan seharian dapat dipertingkatkan.
Guiyang adalah bandar berbukit dan bergunung-ganang dengan sebahagian besar rangkaian rel bandarnya dibina di bawah tanah manakala pergerakan di sekitar bandar sibuk dan bercirikan metropolitan yang secara umumnya teratur serta bersih.
Antara pengalaman menarik adalah menaiki sebuah kenderaan autonomi kompak digelar penduduk tempatan sebagai “bas kentang” kerana berkait rapat dengan realiti wilayah itu yang menjadikan ubi kentang sebahagian daripada makanannya.
Pada masa ini, kenderaan itu turut dilengkapkan dengan pembantu keselamatan bagi memantau pergerakannya.
Operasi tanpa pemandu yang sepenuhnya tidak hanya bergantung kepada teknologi, malah turut memerlukan dasar, peraturan dan undang-undang berkaitan diwujudkan.
Apa yang menarik, ini juga pengalaman pertama Loopy menaiki kenderaan itu memandangkan sebahagiannya hanya beroperasi di kawasan tertentu.
Beliau mengakui berasa selamat sepanjang perjalanan itu dan tidak keberatan jika ini pada akhirnya beroperasi tanpa pembantu sebaik sahaja teknologi serta rangka kerja kawal selia yang diperlukan dimuktamadkan.
Perkongsiannya menarik kerana sebagai anak jati Guiyang, masih ada teknologi baharu di bandar itu yang juga asing baginya dan Guiyang dalam proses untuk “hidup” dalam dunia automatik sepenuhnya di masa depan.
Sebahagian daripada masa depan itu sedang diuji, dirangka menerusi kawal selia selain diterapkan dalam kehidupan seharian.
“Bagi orang biasa, apa yang penting mungkin bukannya bagaimana kemajuan teknologi itu kedengaran, tetapi apakah ini benar-benar mesra atau memudahkan kehidupan,” katanya.
Peringatan manis dalam bentuh sentuhan teknologi yang saya alami adalah sewaktu berjalan di sebuah pasar jalanan dan berhasrat membeli teh matcha untuk dibawa pulang, tetapi tiada mata wang yuan -- sesuatu yang mungkin menjadi satu lagi cabaran untuk pengunjung asing.
Mujurlah, saya merupakan pengguna kemudahan e-dompet di telefon mudah alih yang dihubungkan menerusi rangkaian pembayaran rentas sempadan Alipay+ yang memudahkan pembayaran kepada peniaga gerai secara elektronik dalam beberapa saat.
Pada jarak ribuan kilometer dari Malaysia, perkhidmatan pembayaran dari tanah air tanpa disedari berhubung dengan infrastruktur digital digunakan oleh seorang peniaga kecil di Guiyang.
Teh itu saya dapat beli, vendor menerima bayaran dan kami meneruskan urusan masing-masing, tiada yang ketara tetapi kedua-duanya berasa lega kerana diselesaikan oleh kemudahan di hujung jari.
Pengalaman itu bermakna bagi saya kerana dalam bulan kemerdekaan, ini menjadi bukti jelas bahawa kedudukan Malaysia di dunia juga terserlah menerusi kemudahan dan kaitan harian seperti ini.
Apa yang pasti, ini turut membuktikan mudahnya untuk rakyat Malaysia melakukan perjalanan, transaksi, berkomunikasi dan mengambil bahagian dalam wilayah yang saling terhubung.
Bukti kemudahan lain yang saya temui adalah rak jualan pintar di lapangan terbang yang memerlukan pelanggan membuat imbasan sebelum membuka pintu, mengambil barangan diperlukan dan bayaran mengikut barangan itu.
Di tempat lain, sistem berkuasa AI diperkenalkan bagi tujuan kegunaan komersial, termasuk robot yang menyediakan kopi.
Kesempatan kunjungan rasmi ke syarikat-syarikat yang disenaraikan dalam program pula memberikan gambaran lebih besar mengenai aspirasi Guiyang dalam bidang pengkomputeran, data raya dan AI.
Namun, aspirasi itu dapat saya lihat sekarang menerusi pengalaman kecil yang memudahkan saya memahami cita-cita berkenaan.
Keunikan Sentuhan Insan
Bagaimanapun, semakin lama berada di Guiyang, lebih jelas juga bahawa teknologi bukanlah aspek tunggal yang menjadikan bandar itu kenangan indah.
Apabila perlu berkomunikasi dengan penduduk yang hanya bertutur dalam bahasa Mandarin, saya kadangkala bergantung pada fungsi terjemahan dalam telefon yang memberikan perkataan asas.
Namun, selepas satu-satu perbualan, Loopy adalanya membuat penjelasan lanjut dengan konteks, nada atau maksud sebenar dan tidak melihat AI sebagai gangguan kepada penterjemah.
Sebaliknya, beliau percaya teknologi itu mendorong penterjemah manusia untuk menjadi lebih cakna dalam menyampaikan konteks, emosi dan pertimbangan yang mungkin tiada dalam “jiwa” mesin.
“Berkomunikasi melalui sistem AI ini anda mungkin mendapat perkataan yang ingin disampaikan, tetapi banyak emosi dan maklumat lain boleh terlepas,” katanya.
Kata-katanya ada benarnya dan saya fahami tanpa perlu mengunjungi makmal AI.
Hakikatnya, teknologi membantu saya berkomunikasi, namun, manusia membantu saya memahami.
Seorang pemandu teksi yang pada awalnya agak pendiam berubah menjadi lebih mesra selepas saya mengucapkan “xie xie” atau bermaksud terima kasih, membalas dengan ungkapan sama serta senyuman lebih mesra.
Layanan sama turut saya terima daripada pekerja restoran yang membungkuskan buah untuk saya bawa pulang selepas makan malam.
Di mata ramai, ini mungkin sekadar tindakan kecil, namun apabila melakukan perjalanan di luar negara, perkara seperti inilah yang akan turut dikenang.
Begitu juga pengalaman berjalan ke arah Jiaxiu Pavilion, salah satu mercu tanda terkenal Guiyang yang terletak di tepi sungai.
Dalam keadaan suhu sekitar 25 darjah Celsius malam itu, udara musim panas terasa nyaman dan sejuk bagi saya yang sudah biasa dengan cuaca malam yang panas di Malaysia.
Loopy berkata iklim Guiyang itu juga antara sebab ramai penduduk dari bahagian lain China berkunjung ke bandar itu ketika musim panas.
Kedudukannya yang bergunung-ganang membantu mengekalkan suhu yang lebih sejuk manakala rentak kehidupan di situ juga kurang tekanan berbanding beberapa bandar terbesar di China.
Kehidupan Melangkaui Data Raya
Makanan adalah antara “nikmat” perjalanan ini.
Sajian Guizhou terkenal dengan rasa masam dan pedas ketara dengan juadah ikan, tauhu, sayur-sayuran serta pelbagai makanan ringan tempatan yang mudah ditemui di sekitar bandar.
Tidak ketinggalan, ubi kentang yang disifatkan Loopy sebagai “makanan kebangsaan” Guizhou.
Kentang goreng, dibakar, dilecek, diperisakan dengan cili yang dihidangkan sebahagian daripada sajian atau makanan ringan selain cenderamata bertemakan kentang juga mudah ditemui.
Makanan juga menjadi penghubung rentas budaya, termasuk durian yang menjadi topik perbincangan selain mencetuskan semangat Asia Tenggara.
Tanpa berselindung, Loopy mengakui amat sukakan durian yang mendorong wartawan Thailand Sopit Wang dan saya secara berseloroh mempertahankan keistimewaan durian dari negara masing-masing.
Tiada persaingan serius antara Malaysia dan Thailand di meja makan itu, hanya perdebatan mesra apabila rakyat Asia Tenggara mula berbicara mengenai makanan.
Tiada siapa menang atau mengubah pendirian sesiapa kerana itu bukan matlamatnya.
Perbualan itu mendedahkan sesuatu yang tiada dalam agenda jadual rasmi lawatan berkaitan teknologi.
Guiyang mungkin mahu pengunjung menyelami perkembangannya dalam bidang data raya dan AI, namun bandar yang Loopy mahu kami kenali adalah yang dipraktikkan penduduk selepas sesi pembentangan berakhir.
“Saya mahu anda lihat kehidupan seharian di Guiyang. Sepanjang program rasmi, anda boleh belajar banyak perkara mengenai teknologi, data raya dan pembangunan bandar ini, tetapi saya juga mahu anda mengalami sendiri bagaimana penduduk sini menjalani kehidupan mereka,” katanya.
Harapannya terhadap Guiyang mencerminkan keseimbangan itu. Beliau mahu bandar berkenaan terus membangunkan teknologi, AI dan industri baharu lain supaya golongan muda mempunyai lebih banyak peluang.
“Bagi saya, Guiyang yang ideal dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang ialah bandar lebih moden dan bertaraf antarabangsa, namun selesa, mesra dan sesuai didiami,” katanya.
Iktibar Merdeka
Mungkin juga, ada renungan atau sesuatu yang bermakna untuk dibawa pulang sempena bulan kemerdekaan Malaysia.
Kita sering mengukur pembangunan negara dengan hanya berpaksikan pertumbuhan ekonomi, pelaburan, infrastruktur, strategi perindustrian atau teknologi yang canggih.
Benar, semuanya penting. Namun, pada akhirnya, pembangunan itu hanya dirasai jika terbukti lebih dekat dengan kehidupan seharian.
Persoalannya -- adakah perjalanan menjadi lebih mudah? Bolehkah peniaga kecil turut mengambil bahagian dalam ekonomi digital, mampukah teknologi mengurangkan kesukaran kehidupan seharian dan bolehkah sesebuah bandar mewujudkan peluang sambil kekal selesa untuk didiami?
Di sebalik kemajuan itu, adakah lagi ruang bagi perkara sukar diukur seperti keramahan, jenaka, perbualan, makanan dan kemesraan sesama kita?
Perjalanan saya ke Guiyang bermula dengan cabaran kecil berkaitan pengecas mudah alih.
Ini berakhir di lapangan terbang apabila Loopy mempelawa kami bertandang semula bukan sebagai melakukan liputan tugas, tetapi sebagai pelancong untuk benar-benar menikmati sisi bandar itu dengan lebih mendalam.
Pelawaaan itu kekal dalam ingatan saya.
Bagi seorang rakyat Malaysia yang melihat sendiri keunikan pembangunan negara lain sempena bulan Merdeka, pengalaman itu adalah “buah tangan” yang wajar dibawa pulang.
Merdeka bukan sekadar mengingati sejauh mana sesebuah negara itu telah membangun.
Sebaliknya, ini menjadi kesempatan untuk melihat ke luar, memerhatikan dan menyelami bagaimana negara lain mampu maju dan bertanya apakah bentuk kemajuan yang kita mahukan.
Bukan sekadar apa yang paling baharu atau terpantas, tetapi yang akhirnya memudahkan kehidupan seharian menjadi lebih baik tanpa perlu mengorbankan sisi insan dan kemanusiaan.
-- BERNAMA