ISTANBUL, 30 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Angka korban akibat banjir kilat dan tanah runtuh di Nepal serta wilayah Tibet di China meningkat kepada 691 orang, manakala lebih 3,000 lagi masih hilang, lapor Anadolu Ajansi memetik angka terkini pihak berkuasa dan media tempatan.
Agensi pengurusan bencana Nepal melaporkan 675 kematian dan 2,498 orang masih hilang, manakala pihak berkuasa China memaklumkan 16 orang maut dan 546 lagi masih belum dapat dikesan di Tibet.
Hanya 20 daripada 669 mayat yang ditemukan dalam bencana itu telah dikenal pasti oleh waris setakat petang Sabtu, menurut The Kathmandu Post.
Pihak berkuasa kini berusaha menyimpan bukti pengenalan dan menyediakan ruang bagi menempatkan mayat ketika rumah mayat hospital mencapai kapasiti maksimum, manakala jasad yang ditemukan mula mengalami proses pereputan.
Dalam perkembangan terkini, Lembaga Pelancongan Nepal memaklumkan 261 warga asing telah diselamatkan, manakala 320 lagi masih belum dapat dikesan.
Amerika Syarikat pada Sabtu mengumumkan bantuan kemanusiaan lebih US$3.6 juta untuk Nepal yang dilanda banjir, termasuk bantuan makanan kecemasan bagi 10,000 isi rumah terjejas.
-- BERNAMA-ANADOLU