KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sheikh al-Azhar al-Sharif Prof Dr Ahmad al-Tayyeb membincangkan kesinambungan usaha dakwah serta pengajian Islam bagi memperluas kefahaman keagamaan demi kemaslahatan umat sejagat.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata perkara itu dibincangkan menerusi perbualan telefon selepas tokoh ulama berkenaan menghubungi beliau bagi bertanyakan khabar serta menitipkan doa susulan proses pemulihan kesihatan beliau selepas menjalani pembedahan.
“Saya amat menghargai doa serta ingatan beliau dan memaklumkan bahawa pembedahan telah berjalan lancar, sementara proses pemulihan juga berlangsung dengan amat baik, alhamdulillah. Kami turut bicara soal kesinambungan usaha dakwah dan pengajian dalam memperluas kefahaman Islam.
“Pandangan serta bimbingan beliau akan terus menjadi pedoman penting dalam mengangkat tradisi keilmuan Islam yang luhur dan membawa rahmat kepada seluruh umat,” katanya dalam hantaran tersebut.
Anwar berkata dalam perbualan itu beliau juga menyingkap kembali kunjungan Sheikh al-Azhar al-Sharif ke Malaysia sebelum ini yang meninggalkan kesan amat mendalam kepada seluruh umat Islam di Malaysia.
“Insya-Allah, kami berharap dapat kembali bertemu di Kaherah atau Kuala Lumpur bagi meneruskan ikhtiar dakwah dan pengembangan ilmu demi kemaslahatan umat sejagat,” katanya.
Dalam hantaran berasingan, Perdana Menteri berkata beliau turut berkesempatan berbicara dengan Setiausaha Agung Majlis Hukama Muslimin (Council of Muslim Elders) Mohamed Abdelsalam yang bertanyakan khabar serta menitipkan doa susulan keadaan kesihatannya.
Anwar berkata beliau turut bertanyakan keadaan kesihatan isteri Mohamed yang kini menerima rawatan di hospital, dan mendoakan agar dikurniakan kesembuhan segera.
“Kami kemudiannya menyentuh hasrat Sheikh al-Azhar al-Sharif, Prof Dr Ahmad al-Tayyeb untuk kembali mengunjungi Malaysia, selain beberapa ikhtiar baharu khususnya dalam memperkukuh hubungan Malaysia dengan al-Azhar serta menyuburkan gagasan Islam yang sederhana, bebas dan berwibawa.
“Saya amat menghargai persahabatan, dukungan dan kepercayaan yang dizahirkan Mohamed Abdelsalam serta Sheikh al-Azhar al-Sharif,” katanya.
Anwar berkata beliau juga tersentuh dengan penghargaan diberikan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai wanita teladan atas keteguhan, kesetiaan dan pengorbanannya sepanjang mendampingi perjuangan beliau.
“Insya-Allah, segala ikhtiar dan kerjasama ini akan terus diperkukuh demi kemaslahatan umat dan kesejahteraan sejagat,” katanya.
-- BERNAMA