Am 21/08/2026 03:59 PM

Sukan Asia 2026: Jacky, Pei Yao Sesuaikan Diri Perubahan Format "Modern Pentathlon"

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sukan Asia 2026: Jacky, Pei Yao Sesuaikan Diri Perubahan Format
Atlet modern pentathlon negara, Jacky Aw (kiri) dan Lim Pei Yao yang akan beraksi di temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, bulan depan.

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Perubahan format modern pentathlon pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bakal menguji keupayaan dua wakil negara Jacky Aw dan Lim Pei Yao apabila disiplin ekuestrian atau menunggang kuda digantikan dengan lari berhalangan.

Jurulatih negara Nik Lini Hayati Nik Kazem berkata perubahan itu menuntut kedua-dua atlet membina kemahiran baharu, namun percaya mereka mampu menyesuaikan diri untuk merealisasikan sasaran mara ke final pada penampilan sulung mereka dalam temasya berkenaan, bulan depan.

"Sasaran kita adalah untuk masuk final. Ada pusingan kelayakan, kemudian kalah mati sebelum suku akhir, separuh akhir dan final," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata sasaran itu realistik melihat kepada prestasi Jacky dan Pei Yao yang dipilih ke Sukan Asia menerusi kelayakan berdasarkan merit, termasuk penampilan pada Kejohanan Asia.

Nik Lini Hayati berkata kedua-dua atlet berkenaan turut menunjukkan perkembangan positif, khususnya dalam disiplin larian berdasarkan prestasi ketika menjalani latihan dan menyertai pertandingan di trek.

"Kalau kita tengok perkembangan mereka dalam larian di trek, memang ada banyak peningkatan kerana trek lebih konsisten, jadi kita boleh nampak perkembangan mereka dari situ," katanya.

Bagaimanapun, Nik Lini Hayati berkata prestasi Jacky dan Pei Yao tidak boleh dibandingkan secara terus dengan pencapaian pada Sukan SEA 2025 di Thailand atau kejohanan terdahulu berikutan perbezaan lokasi serta keadaan pertandingan.

Beliau berkata lari berhalangan kini menjadi antara aspek yang perlu diberi perhatian memandangkan disiplin itu masih baharu dalam format modern pentathlon.

"Lari berhalangan ini sesuatu yang baharu dan kita perlu membangunkan kemahiran mereka. Jadi, sekarang mereka perlu memberikan tumpuan kepada lima disiplin, iaitu menembak, lawan pedang, larian, berenang dan lari berhalangan," katanya.

Persiapan kedua-dua atlet kini, katanya, lebih terarah kepada latihan bagi memastikan mereka mampu memberikan persembahan terbaik apabila beraksi di Aichi-Nagoya.

-- BERNAMA