SEMPORNA, 19 Ogos (Bernama) -- Pulau Bum-Bum, terletak di Pantai Timur Sabah, di sini, kini menyaksikan impak nyata Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang sebelum ini penerima terpaksa merentas lautan menaiki bot semata-mata menebus barangan keperluan di Pekan Semporna.
Peluasan Rakan Niaga SARA ke Pulau Bum-Bum mengubah realiti ini dengan mendekatkan barangan kepada penduduk, menjimatkan kos antaranya pengangkutan RM20 hingga RM50, sekali gus meringankan beban kewangan komuniti, yang rata-ratanya terdiri daripada golongan B40 selaras dengan dasar Kerajaan MADANI memastikan tiada satu pun rakyat tertinggal.
Ketua Kampung Samal-Samal, Ahmad Pangiran, 60, berkata kewujudan kedai rakan SARA di pulau itu amat berbaloi buat 535 penduduk kampungnya yang sebahagian besar bekerja sebagai nelayan dan petani, sebelum ini terbeban dengan kos logistik tinggi untuk ke Pekan Semporna.
"Sebelum ini, kos ulang-alik menaiki bot ke pekan amat tinggi, selain harga minyak kenderaan di pulau yang mencecah RM6 sebotol (seliter). Kini penduduk hanya perlu bergerak berdekatan rumah untuk menebus bantuan, sekali gus menjimatkan masa dan perbelanjaan," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata barangan asas seperti beras, gula, tepung, bawang, dan telur kini sentiasa mencukupi dan mudah didapati di kedai tempatan, malah langkah berkenaan terbukti berkesan menyelesaikan isu pengangkutan yang kerap dihadapi masyarakat kepulauan di Semporna.
Ahmad turut berharap supaya program SARA dikekalkan dan skala operasi kedai rakan niaga terus diperluas pada masa hadapan, serta pilihan barangan keperluan dikaji untuk ditambah lagi demi kesejahteraan penduduk pulau.
Di Sabah, terdapat 1,495 Rakan Niaga SARA dengan 32 daripadanya terletak di Semporna. Koperasi Anugerah Haji Badji di Pulau Bum-Bum ialah Rakan Niaga SARA yang ke-33 untuk daerah Semporna, dan satu-satunya di Pulau Bum-Bum.
Kewujudan Rakan Niaga SARA di Pulau Bum-Bum, terletak kira-kira 15 minit perjalanan bot dari Pekan Semporna, memanfaatkan lebih 25,000 penduduk Pulau Bum-Bum yang layak menerima SARA Untuk Semua, dan 3,300 yang layak mendapat SARA Bulanan serta Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Bagi suri rumah, Arkah Uttok, 52, dari Kampung Samal-Samal, pelaksanaan SARA menerusi kedai tempatan di pulau itu amat menggembirakan penduduk tempatan kerana berjaya meredakan beban perbelanjaan harian keluarga.
Dia yang sering membeli barangan seperti beras, tepung dan telur dengan SARA, berkata sebelum ini dia perlu menyeberang ke Pekan Semporna dengan menanggung kos hingga RM40 bagi perjalanan ulang-alik, termasuk tambang bot dan perkhidmatan membawa barang keperluan dibelinya ke rumah.
"Kami tidak lagi perlu ke pekan dan boleh membeli barangan keperluan di kedai ini setiap hari tanpa perlu memikirkan kos pengangkutan yang mahal," katanya yang berharap pilihan barangan SARA diperluas pada masa hadapan, terutamanya bekalan barangan segar seperti sayur-sayuran.
Pemandu kereta sewa, Datu Ahmad Datu Motalib, 43, dari Kampung Samal-Samal turut meluahkan rasa syukur kerana inisiatif SARA amat membantu golongan B40 mendepani kenaikan kos sara hidup di pulau.
Bapa kepada bayi berusia setahun ini, turut menyuarakan cadangan agar bekalan kelengkapan bayi seperti jenama lampin pakai buang dan susu formula khusus dapat ditambah di kedai rakan niaga tempatan bagi ditebus dengan menggunakan SARA.
"Barangan harian lain memang mencukupi, tetapi jika barangan bayi turut disediakan, ia sudah tentu amat memudahkan ibu bapa yang mempunyai anak kecil di pulau ini," katanya sambil menambah kewujudan kedai SARA berdekatan rumah membolehkannya berurusan dengan mudah tanpa mengeluarkan kos tambahan.
Sementara itu, Roseyatimah Marahaban, 60, dari Kampung Lok Kiba meluahkan kelegaan kerana kedai rakan SARA itu kini terletak kira-kira tiga minit sahaja dari kediamannya membolehkannya membeli barangan asas, terutamanya beras.
Sebelum ini, dia ke Pekan Semporna menggunakan botnya sendiri, dan kos bahan api boleh mencecah RM50 untuk setiap perjalanan ulang-alik bergantung kepada keadaan laut.
"Barangan asas di kedai tempatan ini sudah cukup lengkap untuk keperluan harian kami, jadi fikiran kami lebih tenang tanpa perlu kerap menaiki bot ke pekan," katanya yang berharap program berimpak tinggi ini dapat dikekalkan secara berterusan demi menjamin kemudahan penduduk di pulau berkenaan.
Nada sama turut dikongsi suri rumah dari Kampung Terusan Tengah, Elsah Otoh, 40, yang membelanjakan RM12 untuk tambang bot dan pengangkutan darat jika mahu ke Pekan Semporna, dan adakalanya melebihi RM30 apabila merangkumi caj membawa barangan ke rumah.
"Alhamdulillah, kemudahan di kampung sendiri ini amat membantu. Kami tidak perlu lagi ke pekan kerana barangan keperluan asas sudah mencukupi di sini," katanya yang berharap stok barangan harian seperti beras dapat diteruskan secara konsisten bagi menampung penggunaan harian komuniti pulau.
Seorang nelayan dari Kampung Seri Kurnia, Damsal Abdullah, 39, turut bersyukur kerana inisiatif itu amat membantu mengurangkan beban kewangan serta tenaga penduduk pulau kerana sebelum ini perlu menaiki pelbagai jenis pengangkutan, iaitu kereta dan perahu.
"Sekarang lebih mudah dan menjimatkan masa. Cuma harapan saya agar barangan dan peralatan penjagaan bayi turut ditambah demi kemudahan keluarga," kata bapa kepada bayi berusia enam bulan itu.
Secara keseluruhannya, perluasan SARA ke Pulau Bum-Bum membuktikan komitmen kerajaan merapatkan jurang kemudahan, sekali gus memastikan kebajikan komuniti B40 di kawasan kepulauan di Sabah terpelihara.
-- BERNAMA