GEORGE TOWN, 18 Ogos (Bernama) -- Malaysia berjaya membangunkan teknologi postbiotik halal berasaskan sumber bio tempatan seperti durian Musang King dan kubis, sekali gus membuktikan keupayaan penyelidikan tempatan menghasilkan inovasi sains bernilai tinggi.
Menurut kenyataan Pharm-D Health Science Berhad (Pharm-D HS) hari ini, teknologi itu dibangunkan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Biotenova, merangkumi ramuan postbiotik berpaten LASSICA K014®, ACASEI™ dan PLANTACT®.
Menurut Pharm-D HS, inovasi berkenaan dilesenkan kepada Biotenova, anak syarikat Pharm-D HS, manakala Pharm-D HS dilantik sebagai rakan pemasaran untuk membawa teknologi berkenaan ke pasaran.
Teknologi itu telah dipasarkan bagi pelbagai kegunaan termasuk penjagaan kesihatan, kulit dan oral, kesejahteraan haiwan peliharaan serta sektor pertanian, penternakan dan akuakultur.
Pharm-D HS memaklumkan inovasi daripada sumber bio Malaysia itu mencerminkan rantaian pembangunan sains tempatan yang merangkumi bahan mentah, penyelidikan, pembuatan hingga pemasaran.
Teknologi berkenaan selaras dengan pendekatan One Health Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan berpotensi membantu mengurangkan kebergantungan terhadap antibiotik selain menyokong keselamatan makanan.
Menurut kenyataan itu, ramuan postbiotik berkenaan menunjukkan aktiviti antimikrob terhadap patogen yang mempunyai kerintangan terhadap antibiotik, manakala kajian klinikal mendapati LASSICA K014® selamat untuk pengambilan harian jangka panjang serta dikaitkan dengan manfaat terhadap kesihatan pencernaan, sistem imun dan fungsi hati.
Inovasi itu turut meraih Anugerah Perak bagi kategori Inovasi Terbaik pada Star Outstanding Business Awards (SOBA) 2025 selain Pingat Emas dan Asian Invention Excellence Award pada International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2026.
Pengarah Urusan Pharm-D HS Wong Chin Cheang berkata pencapaian itu membuktikan inovasi bertaraf dunia mampu dibangunkan di Malaysia menerusi penggunaan sumber bio dan kepakaran tempatan, sekali gus membantu negara muncul sebagai pencipta serta peneraju inovasi.
Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi USM Prof Madya Dr Nurzalina Abdul Karim Khan dan Dekan Pusat Pengajian Teknologi Industri USM Prof Madya Dr Yusri Yusup berkata kerjasama akademia-industri itu membuktikan penyelidikan saintifik tempatan boleh diterjemahkan kepada teknologi praktikal yang memberi manfaat kepada masyarakat dan industri.
-- BERNAMA