Am 18/08/2026 05:57 PM

Polis Pulau Pinang Lupus Barang Kes Bernilai RM13.5 Juta

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Polis Pulau Pinang Lupus Barang Kes Bernilai RM13.5 Juta
Kredit foto: Siti Azila Alias

KEPALA BATAS, 18 Ogos (Bernama) -- Polis Pulau Pinang hari ini melupuskan pelbagai barang kes bernilai RM13.6 juta membabitkan 2,436 kertas siasatan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata pelupusan itu melibatkan barang kes daripada kertas siasatan sejak 1997 hingga awal tahun ini, selepas semua kes berkaitan selesai dan perintah pelupusan diperoleh daripada pihak berkuasa.

“Bagi JSJ, pelupusan melibatkan 271 kertas siasatan sejak 2019 hingga sekarang dengan anggaran nilai kira-kira RM800,000.

“Antara barang kes yang dilupuskan ialah 177 mesin bitcoin, 2,080 botol arak, 1,183 karton rokok, 30 unit mesin simulator, 108 pencetak mudah alih dan 122 telefon bimbit,” katanya pada sidang media di Stor Barang Kes Pusat di sini hari ini.

Lim berkata barang kes JSJ itu turut merangkumi 26 eksibit berkaitan kontraban, tujuh barang kes berkaitan bitcoin serta 229 barang kes membabitkan kes perjudian.

Beliau berkata bagi JSJN pula, pelupusan melibatkan barang kes daripada 2,003 kertas siasatan sejak 1997 hingga awal tahun ini dengan nilai dianggarkan RM11.4 juta.

Katanya, barang kes itu merangkumi 1,995 kilogram (kg) dadah dan ketum, 666 liter cecair berkaitan dadah serta 500 kg bahan dan peralatan yang digunakan untuk memproses dadah.

“Antara dadah yang dilupuskan ialah heroin, kanabis, ketamin, methamphetamine, pelbagai jenis pil dadah serta daun ketum,” katanya.

Bagi JSJK, Lim berkata pelupusan membabitkan barang kes daripada 162 kertas siasatan bernilai kira-kira RM1.3 juta, antaranya cakera padat video (VCD) dan video cakera digital (DVD), poster, televisyen dan sistem audio. 

Beliau berkata barangan yang mempunyai komponen elektronik atau mengandungi bahan kimia akan diserahkan kepada syarikat berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk dilupuskan mengikut prosedur ditetapkan.

-- BERNAMA