Am 18/08/2026 07:20 PM

Perak Rekod Peningkatan Warga Emas, Cecah 15.3 Peratus

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Perak Rekod Peningkatan Warga Emas, Cecah 15.3 Peratus
Golongan warga emas tidak melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRN Sabah ke-17 hari ini, meskipun berdepan kekangan fizikal dan keuzuran.

IPOH, 18 Ogos (Bernama) -- Perak menjadi negeri dengan komposisi penduduk warga emas berusia 60 tahun dan ke atas tertinggi di Malaysia, iaitu 15.3 peratus daripada keseluruhan 2.6 juta penduduk negeri itu yang direkodkan pada tahun lepas.

Timbalan Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Juwairiya Zulkifli berkata perkara itu perlu diberikan penekanan yang serius memandangkan Perak turut berdepan kadar kelahiran dan pertumbuhan penduduk yang perlahan, iaitu sekitar 0.2 peratus dalam tempoh sama.

“Pada 2024, penduduk warga emas berusia 60 tahun dan ke atas adalah sekitar 14.9 peratus dan ia meningkat kepada 15.3 peratus pada tahun lepas. Perkembangan itu menunjukkan proses penuaan penduduk di negeri ini berlaku dengan pantas.

“Ia juga tidak dilihat seimbang dengan kadar pertumbuhan penduduk, malah perubahan komposisi ini perlu dilihat dari sudut kesediaan negeri menghadapi masa depan, khususnya apabila kita akan mengalami kekurangan tenaga pekerja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Kependudukan Negeri Perak 2026 dan Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 di sini hari ini.

Juwairiya berkata antara faktor yang menyumbang kepada keadaan itu ialah penghijrahan golongan muda untuk bekerja di luar negeri, selain terdapat individu yang memilih untuk kembali ke kampung halaman selepas bersara.

Beliau berkata sekiranya tidak diuruskan dengan baik, Perak boleh berhadapan dengan pengecilan tenaga kerja, peningkatan nisbah tanggungan serta pertambahan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan dan penjagaan jangka panjang.

“Isu penuaan tidak wajar dilihat sebagai beban semata-mata, sebaliknya golongan warga emas masih mempunyai potensi untuk menyumbang kepada masyarakat sekiranya disokong melalui persekitaran yang kondusif serta kerjasama pihak berwajib.

“Perkara ini hanya akan dapat dicapai dengan penyelarasan strategik antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), institusi akademik, sektor swasta dan sebagainya,” katanya.

Menyentuh mengenai program, katanya, sebanyak 300 peserta terlibat dalam seminar berkenaan yang merupakan kesinambungan daripada seminar kependudukan negeri tahun lepas dan bermatlamat untuk memperkasakan komuniti bagi menghadapi penuaan penduduk.

Juwairiya berkata terdapat empat kertas pembentangan serta sesi dialog yang memfokuskan kepada isu berkenaan yang akan diangkat kepada pembuat dasar khususnya di peringkat negeri.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan harus meneliti keperluan mewujudkan keseragaman dari sudut peraturan dan penguatkuasaan terhadap ekosistem penjagaan warga emas bagi memastikan golongan berkenaan menerima perkhidmatan yang berkualiti dan selamat di seluruh negara.

Pendekatan itu, katanya, penting bagi membantu kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan masing-masing dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan yang lebih tersusun.

“Pada masa ini, banyak pihak swasta dan NGO telah mengambil tanggungjawab menyediakan perkhidmatan penjagaan, jadi kita perlu memastikan perkhidmatan yang disediakan itu mempunyai standard dan kualiti yang bersesuaian dengan keperluan warga emas,” katanya.

Selain itu, Juwairiya berkata aspek kelayakan dan latar belakang tenaga kerja dalam sektor penjagaan warga emas juga perlu diberikan perhatian bagi memastikan golongan itu menerima perkhidmatan daripada individu yang benar-benar sesuai dan berkemahiran.

-- BERNAMA