Am 18/08/2026 02:52 PM

Kerugian Penipuan Dalam Talian Cecah RM958 Juta Setakat Jun Tahun Ini - Fahmi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kerugian Penipuan Dalam Talian Cecah RM958 Juta Setakat Jun Tahun Ini - Fahmi
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kiri) bercakap pada sidang media bersama Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil selepas Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Kompleks Setia Perkasa hari ini.

PUTRAJAYA, 18 Ogos (Bernama) --  Kerugian akibat jenayah penipuan dalam talian di Malaysia merekodkan angka membimbangkan apabila mencecah RM958 juta bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempergiat usaha menurunkan kandungan memudaratkan di pelbagai platform digital, selaras dengan peningkatan ancaman itu. 

Fahmi berkata bagi tempoh 1 Jan hingga semalam, sebanyak 470,593 kandungan memudaratkan telah dimohon untuk diturunkan daripada platform media sosial dan daripada jumlah itu, penyedia platform bersetuju menurunkan 93 peratus atau 436,661 kandungan.

"Daripada angka tadi (470,593 kandungan), sebanyak 64 peratus adalah kandungan yang bersifat perjudian, manakala 27 peratus lagi bersifat scam (penipuan)," katanya pada sidang media selepas majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Imigresen (JIM) dan MCMC di sini hari ini.

Beliau berkata Facebook merupakan medium yang paling banyak dikaitkan dengan kandungan perjudian dalam talian iaitu merangkumi 78 peratus, diikuti YouTube (18 peratus) dan TikTok (empat peratus).

Bagi kandungan penipuan pula, Facebook kekal mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 53 peratus, diikuti TikTok (39 peratus) dan Threads (lima peratus).

Sehubungan dengan itu, Fahmi menegaskan bahawa setiap penyedia platform media sosial perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam mengesan, menyekat dan menurunkan kandungan memudaratkan tanpa bergantung pada laporan pihak berkuasa atau aduan pengguna semata-mata.

"Platform wajib memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan persekitaran dalam talian yang selamat," katanya.

Fahmi berkata MCMC kini mempergiat operasi dan siasatan berasaskan risikan dalam mengekang aktiviti jenayah di alam maya, memperkasakan standard mandatori bagi pendaftaran pengguna akhir perkhidmatan selular awam prabayar serta memperkukuh langkah berkaitan pengesahan identiti digital.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis pertukaran MoU antara JIM dan MCMC yang bertujuan memperkukuh kerjasama dalam aspek penguatkuasaan, perkongsian maklumat risikan serta siasatan bersama melibatkan elemen jenayah rentas sempadan dan teknologi komunikasi.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban.

-- BERNAMA