KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Puncak Niaga Holdings Bhd dan anak syarikat milik penuhnya, Puncak Niaga Management Services Sdn Bhd (PNMSSB) telah memeterai perjanjian jual beli bersyarat untuk melupuskan dua bidang tanah di Selangor pada harga RM237.15 juta.
Syarikat pemegangan pelaburan itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata perjanjian jual beli bersyarat pertama dimeterai antara Puncak Niaga dan Alpha Galaxy Sdn Bhd untuk pelupusan Lot 7095, Ijok, Kuala Selangor pada harga RM118.69 juta.
Perjanjian jual beli bersyarat kedua telah ditandatangani antara PNMSSB dan Alpha Galaxy membabitkan pelupusan Lot 7094 di kawasan yang sama dengan harga RM118.47 juta.
“Cadangan pelupusan tanah merupakan peluang bagi Puncak Niaga dan anak-anak syarikatnya untuk membuka kunci nilai tanah yang telah dipegang sebagai hartanah pelaburan sejak 2015.
“Ia akan mengumpul kira-kira RM216.22 juta hasil jualan selepas ditolak anggaran kos berkaitan cadangan pelupusan tanah, yang berjumlah kira-kira RM2 juta serta cukai keuntungan harta tanah lebih kurang RM18.93 juta,” katanya.
-- BERNAMA