Detik melihat seorang warga emas jagaannya meninggal dunia dalam solat di depan mata, terpahat kemas di ingatan J Susila Devi yang sebelum itu membantu wanita tersebut bersiap untuk memenuhi tuntutan agama.
Sama sekali tidak menyangka itu adalah kali terakhir beliau membantu wanita berkenaan berwuduk, Susila, 50, yang bertugas sebagai caregiver (penjaga pesakit) turut membuktikan rakyat di negara ini belum hilang semangat perpaduan ataupun toleransi yang melangkaui bangsa dan agama.
“Insiden ini berlaku di Johor. Saya mula menjaga Hajah Zubaidah yang mengalami strok pada penghujung tahun lalu. Pada hari itu, seperti biasa saya bergurau dengan dia, dan mengingatkan dia sudah masuk waktu zuhur. Jadi saya bantu dia berwuduk dan bersiap untuk solat. Dia meninggal semasa sujud.
“Walaupun saya bukan Islam, timbul satu perasaan yang sukar untuk saya gambarkan selepas menyedari yang saya membantu dia berwuduk sebelum menunaikan solat terakhirnya. Pengalaman itu amat bermakna bagi saya, seolah-olah satu penghormatan yang mungkin amat sukar untuk diperoleh sepanjang saya dalam bidang ini,” katanya kepada Bernama.
Menurut beliau, peristiwa itu juga mengeratkan hubungannya dengan keluarga Allahyarham dan mereka kekal berhubung hingga kini walaupun tugasnya membantu keluarga berkenaan dalam menjaga dan menguruskan arwah sudah lama berakhir.
BINA KEPERCAYAAN, HORMATI BUDAYA
Zubaidah bukan satu-satunya pesakit berlainan bangsa yang dijaga oleh Susila.
Menurutnya, sepanjang lebih sedekad bergelar penjaga pesakit selepas menamatkan latihan penjagaan warga emas secara profesional menerusi Program TVET Penjagaan Warga Emas Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) di Universiti Kuala Lumpur, beliau pernah menjaga pesakit berbangsa Cina, India serta keturunan Eurasian.
"Saya belajar menghormati budaya setiap keluarga. Kalau di rumah orang Melayu, saya pastikan pesakit bersedia untuk mengangkat wuduk dan saya akan ingatkan waktu solat. Kita kena ikut cara hidup mereka dan ambil hati mereka.
"Bila kita ikhlas menjaga mereka, bangsa atau agama tidak lagi menjadi penghalang kerana akhirnya kita semua menjaga seorang insan yang memerlukan," katanya, menambah mereka yang menceburi bidang itu juga bukan sekadar memberi bantuan fizikal, tetapi membina turut hubungan kepercayaan dan persefahaman antara masyarakat berbilang kaum.
TVET PENJAGAAN PASAK LAHIR CAREGIVER PROFESIONAL
Menerusi data Anggaran Penduduk Semasa Malaysia 2026 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 27 Julai lalu, sebanyak 12 negeri di Malaysia kini dikategorikan sebagai negeri menua apabila peratusan penduduk berusia 65 tahun dan ke atas melebihi tujuh peratus daripada keseluruhan populasi negeri berkenaan.
Data itu juga menunjukan Perak yang merekodkan kira-kira 2.6 juta penduduk pada tahun ini, merupakan negeri yang kekal mencatat komposisi penduduk berumur 65 tahun dan ke atas tertinggi di Malaysia, iaitu 10.8 peratus.
Vicky Hanna @ Chin Wai Keng 53 yang telah menjadi penjaga pesakit selama lebih 30 tahun, melihat kepentingan lebih ramai penjaga profesional dilahirkan seiring dengan perkembangan penduduk di Malaysia dalam memastikan kesejahteraan warga emas terus terpelihara.
“Latihan dan pensijilan profesional penjagaan warga emas yang diperkenalkan PASAK bukan sahaja meningkatkan keyakinan terhadap kerjaya sebagai caregiver, malah membantu melahirkan penjaga yang lebih memahami budaya dan kepercayaan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
"Selama ini saya memang sudah menjaga pesakit, tetapi apabila mengikuti kursus PASAK saya belajar secara profesional. Kami diajar penjagaan pesakit demensia, pemakanan, penjagaan luka, pengurusan stoma, pemberian ubat dan pelbagai teknik lain secara lebih terperinci, bukan sekadar asas," katanya.
Menurut Vicky, pensijilan itu turut meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kemampuan seseorang caregiver, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang yang semakin mendapat permintaan tersebut.
Katanya, beliau menyertai kursus berkenaan selepas mengetahui kerajaan menggalakkan tenaga kerja penjagaan memiliki sijil profesional, selain melihat bidang itu mempunyai prospek kerjaya yang lebih luas pada masa akan datang.
Menurutnya, pengalaman menjaga pesakit daripada pelbagai kaum bukan hanya meningkatkan kemahiran beliau dalam memenuhi keperluan mereka berdasarkan budaya dan kepercayaan masing-masing, tetapi turut memupuk kefahaman lebih mendalam tentang setiap kaum.
JANA PENDAPATAN
Program TVET dalam bidang penjagaan warga emas bukan sahaja melahirkan tenaga kerja mahir dalam kalangan mereka yang berusia tetapi juga orang muda. Malah, peluang kerjaya tidak terhad pada sekadar memberi jagaan, kerana ada yang memanfaatkan kemahiran itu untuk mengusahakan pusat jagaan warga emas.
Muhammad Asraaf Hakimi Rosli, 29, antara yang berbuat demikian. Menurutnya, penyertaan dalam program itu menjadi titik perubahan dalam kerjayanya sehingga berjaya membuka pusat jagaan sendiri.
Sebelum mengikuti kursus berkenaan, Muhammad Asraaf yang lebih dikenali sebagai Along oleh pesakit jagaannya, berkata beliau membantu ibunya menguruskan pusat jagaan warga emas selama kira-kira tiga tahun dan mempelajari asas penjagaan melalui pengalaman tersebut.
"Selepas menyertai kursus TVET penjagaan PASAK selama seminggu, saya mendapat banyak peluang untuk menjadi caregiver di luar. Daripada situ saya mula memperoleh pelanggan sendiri sebelum menyimpan pendapatan dan akhirnya membuka pusat jagaan warga emas pada 2025," katanya kepada Bernama.
Menurut Muhammad Asraaf yang mula menyediakan perkhidmatan jagaan pada 2023, latihan yang diterima meningkatkan pengetahuan serta kemahirannya dalam menguruskan warga emas secara lebih profesional, termasuk mengenal pasti tahap kesihatan pesakit, teknik penjagaan dan kaedah pengurusan yang betul.
"Pada mulanya saya tidak nampak bidang ini sebagai kerjaya tetapi selepas beberapa tahun, saya sedar orang tua sentiasa memerlukan penjagaan. Pelanggan semakin ramai dan pendapatan juga meningkat… sebab itu saya terus fokus dalam bidang ini.
“Antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah penjagaan persendirian, iaitu ke rumah-rumah dan di pusat jagaan warga emas. Di situ ada yang menetap dan ada juga yang datang secara harian, iaitu dari waktu pagi hingga petang sementara menunggu kepulangan anak-anak yang bekerja,” katanya yang pernah mengikuti latihan lanjutan di Jepun.
Menurutnya, beliau kini menggaji lima penjaga berusia 26 hingga 31 tahun yang turut dihantar mengikuti latihan serta mendapatkan pensijilan bagi memastikan mutu perkhidmatan pada tahap terbaik.
Sambil mengharapkan lebih ramai anak muda menyertai bidang itu, Muhammad Asraaf berkata hasil daripada perniagaan pusat jagaan dan perkhidmatan caregiver persendirian, beliau kini mampu meraih lebih RM40,000 sebulan.
INISIATIF KERAJAAN NEGERI TINGKAT KESEJAHTERAAN WARGA EMAS
Pengarah PASAK Aldrin Ng berkata program di bawah Inisiatif Santunan Kasih Perak itu bukan sekadar memberi latihan teknikal kepada peserta, malah menerapkan nilai ihsan dan keprihatinan dalam pengurusan warga emas.
Beliau berkata inisiatif yang dilaksanakan menerusi kerjasama strategik dengan Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak itu menyasarkan golongan wanita, suri rumah dan pencari kerja untuk mengikuti latihan modular yang diiktiraf bagi meningkatkan mobiliti ekonomi mereka.
"Program ini merupakan langkah serampang dua mata untuk memperkasakan agenda TVET, khususnya dalam memenuhi keperluan mendesak sektor silver economy, selain membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
“Sejak diperkenalkan pada 2023 hingga Julai tahun ini, seramai 416 peserta telah berjaya dilatih dan ditauliahkan. Pemantauan impak program menunjukkan 80 peratus daripada peserta kini bekerja secara profesional dalam industri penjagaan, sama ada di pusat jagaan swasta, institusi kesihatan ataupun sebagai private caregiver, manakala selebihnya menggunakan kemahiran tersebut untuk menjaga ahli keluarga sendiri di rumah.
"Bagi memastikan latihan lebih fleksibel, PASAK menggunakan pendekatan hibrid dengan sesi teori dijalankan secara dalam talian, manakala latihan praktikal dilaksanakan secara bersemuka mengikut kesesuaian masa peserta yang kebanyakannya sudah bekerja sebagai caregiver.
"Modul latihan meliputi penjagaan pesakit demensia, strok, stoma, dialisis, pengurusan mobiliti fizikal, bantuan kecemasan asas serta aspek psikologi warga emas bagi melahirkan penjaga yang kompeten dan profesional," katanya.
Mengulas perancangan masa depan, Aldrian berkata bermula tahun ini, PASAK memperkukuh program TVET penjagaan warga emas menerusi penetapan modul mandatori kepada mereka yang ingin berkecimpung secara profesional dalam sektor penjagaan di Perak.
Beliau berkata inisiatif yang kini diletakkan di bawah seliaan Majlis TVET Negeri Perak itu turut disokong Jawatankuasa Teknikal yang menghimpunkan wakil industri, agensi kesihatan dan pemain sektor penjagaan bagi memperkukuh standard latihan.
"Matlamat kami adalah menjadikan Perak sebagai hab rujukan utama negara bagi pelesenan dan latihan TVET penjagaan warga emas, sekali gus menjadi penanda aras standard industri penjagaan profesional di Malaysia," katanya.
PERINTIS PENJAGAAN WARGA EMAS PROFESIONAL
Pada Julai lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Salbiah Mohamed dilaporkan berkata Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Penjagaan Warga Emas yang dilaksanakan kerajaan Perak sejak 2023, diunjurkan menjana kenaikan pendapatan terkumpul sebanyak RM1.75 juta dalam kalangan penggiatya berikutan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan itu.
Setakat Disember 2025, 66 peratus alumni Kursus Penjagaan Warga Emas Pensijilan Profesional di bawah inisiatif Santunan Kasih itu melaporkan peningkatan pendapatan bulanan, manakala 25 peratus daripada mereka berjaya menggandakan pendapatan.
Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak Jamilah Zakaria berkata usaha itu bukan sahaja meningkatkan kesedaran mengenai isu penuaan, malah membangunkan ekosistem penjagaan warga emas secara menyeluruh.
Beliau berkata di bawah projek itu, kerajaan negeri dapat menyediakan latihan kepada sukarelawan dan individu yang berminat menceburi bidang penjagaan warga emas serta pesakit terlantar.
"Latihan caregiver ini dibiayai kerajaan negeri dan dikendalikan PASAK, dan setakat ini PASAK telah melahirkan lebih 300 penjaga, termasuk sukarelawan yang membantu masyarakat serta individu yang berjaya membina kerjaya dan perniagaan dalam bidang penjagaan.
“Kerajaan negeri yakin pembangunan ekosistem penjagaan itu mampu memperkukuh ekonomi penjagaan, selain meningkatkan kerjasama antara pelbagai agensi dalam menangani cabaran masyarakat menua,” katanya.
Jamilah berkata penyertaan dalam latihan TVET penjagaan warga emas melibatkan peserta daripada pelbagai kaum kerana isu penuaan memberi kesan kepada seluruh masyarakat.
"Ada caregiver Melayu menjaga warga emas Cina, ada warga India menjaga warga emas Melayu. Mereka mungkin berdepan cabaran dari segi bahasa atau adat, tetapi latihan yang diterima membantu mereka memahami keperluan setiap individu.
"Perak mahu menjadi contoh bahawa isu penuaan tidak boleh ditangani oleh satu kaum sahaja, sebaliknya memerlukan seluruh masyarakat berganding bahu memastikan setiap warga emas disantuni dengan penuh hormat dan kasih sayang," katanya.