BERLIN, 17 Ogos (Bernama-dpa) -- Ketua Majlis Perhutanan Jerman menggesa agar peralihan segera kepada hutan campuran dilakukan segera susulan kebakaran hutan dahsyat yang melanda Jerman dan Belgium, lapor agensi berita Jerman dpa.
Presiden Majlis Perhutanan Jerman Christian Haase berkata dalam temu bual dengan radio awam Jerman Deutschlandfunk pada pagi Isnin bahawa langkah berjaga-jaga yang lebih menyeluruh diperlukan.
“Dan bagi kami sebagai pemilik hutan, ini bermakna: penukaran hutan, penukaran hutan, penukaran hutan. Kita mesti beralih daripada hutan yang hanya terdiri daripada pokok konifer kepada hutan campuran,” katanya.
Kebakaran yang kini berlaku di kawasan yang biasanya merupakan “wilayah lembap” menunjukkan dengan jelas bahawa perubahan iklim semakin ketara. “Kita mesti menanam pokok,” kata Haase, yang juga merupakan anggota konservatif Dewan Rendah Parlimen Jerman atau Bundestag.
Usaha menukar struktur hutan dijalankan selama bertahun-tahun dan “pastinya akan mengambil masa sedekad lagi”, katanya.
Menurutnya, adalah tidak mungkin untuk mewujudkan kawasan pembalakan besar-besaran secara sembarangan daripada hutan yang sihat. “Orang ramai di mana-mana sedang menanam anak pokok.” Namun, katanya, jika penanaman dilakukan pada masa yang tidak sesuai, anak pokok berkenaan akan mati semula.
“Jadi, proses ini sememangnya mengambil masa yang agak lama dan kita mesti menanganinya dengan lebih cepat,” katanya.
-- BERNAMA-dpa