Am 17/08/2026 04:25 PM

RSNPP 2040: Rel Butterworth–Kulim Antara 14 Projek Impak Tinggi Di Pulau Pinang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
RSNPP 2040: Rel Butterworth–Kulim Antara 14 Projek Impak Tinggi Di Pulau Pinang
Kredit: Chief Minister Office

GEORGE TOWN, 17 Ogos (Bernama) -- Laluan rel Butterworth ke Kulim, Lebuhraya Lingkaran Pantai Pulau Pinang dan The Penang Gateway antara 14 projek berimpak tinggi yang dikenal pasti dalam Draf Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2040 (RSNPP 2040) (Kajian Semula) bagi meningkatkan kesalinghubungan wilayah serta merangsang pertumbuhan ekonomi.

Menurut draf berkenaan yang dikeluarkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang (PLANMalaysia Pulau Pinang), laluan rel Butterworth–Kulim dicadangkan bagi menghubungkan pusat pengangkutan utama di Seberang Perai dengan pusat perindustrian di Kulim, Kedah.

"Laluan ini berpotensi merancakkan pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan di koridor utara, dan mengurangkan kesesakan lalu lintas serta memendekkan masa perjalanan merentasi Seberang Perai," menurut draf yang mengandungi tujuh bahagian utama itu.

RSNPP 2040 turut mencadangkan Lebuhraya Lingkaran Pantai Pulau Pinang berbentuk ring road di bahagian barat laut yang menghubungkan kawasan berkenaan ke pusat ekonomi di selatan.

Laluan pantai sepanjang kira-kira 28 hingga 30 kilometer (km) itu dijangka memendekkan masa perjalanan kepada kira-kira 21 hingga 27 minit serta berpotensi mengurangkan kesesakan di George Town dengan memintas kawasan tengah bandar.

Selain itu, RSNPP 2040 juga mengenal pasti projek The Penang Gateway, iaitu pembangunan bercampur hasil tambakan laut di kawasan pesisir pantai dari Tanjong Bungah ke Batu Feringghi, yang berpotensi untuk merancakkan pembangunan ekonomi negeri, khususnya dalam sektor pelancongan, perkhidmatan, perdagangan dan hartanah di kawasan utara Pulau Pinang.

Cadangan tersebut juga berpotensi meningkatkan daya tarikan kawasan pesisir pantai sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan bertaraf antarabangsa serta menyumbang kepada penjanaan peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi baharu negeri. 

Draf berkenaan turut mencadangkan supaya Middle Bank Marine Sanctuary, yang terletak di antara Pulau Pinang dengan tanah besar meliputi kawasan seluas kira-kira 10 km persegi dikekalkan sebagai kawasan perlindungan marin.

"Kawasan ini mempunyai kepentingan ekologi yang tinggi sebagai satu-satunya seagrass meadow di Selat Melaka yang berfungsi sebagai penyerap karbon semula jadi yang sangat efektif," menurut draf itu.

Antara projek pemangkin lain yang dikenal pasti dalam RSNPP 2040 termasuklah Lintasan Pulau Pinang Ketiga, cadangan Terowong Balik Pulau–Paya Terubong, pembesaran Penang Sentral, cadangan pusat pengumpulan kapal, Loji Sisa Kepada Tenaga Pulau Burong dan pembinaan sebuah Depot Percampuran Biodiesel.

Menurut RSNPP 2040, pelaksanaan kesemua projek pemangkin tersebut dijangka mempertingkatkan kebolehcapaian dan kesalinghubungan, memperkukuh sistem pengangkutan awam dan logistik, memelihara sumber alam semula jadi yang strategik serta mewujudkan rangkaian pembangunan yang lebih seimbang antara Pulau dengan Seberang Perai.

Draf RSNPP 2040 (Kajian Semula) ialah dokumen perancangan strategik negeri yang menggariskan hala tuju pembangunan fizikal, ekonomi, sosial dan alam sekitar secara menyeluruh bagi tempoh perancangan hingga 2040 yang kini dibuka untuk publisiti dan penyertaan awam hingga 9 Sept.

-- BERNAMA