Am 17/08/2026 12:05 PM

Malaysia Hasilkan Jagung Bijian Tempatan Skala Besar, Kurangkan Kebergantungan Import - Mohamad Sabu

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia Hasilkan Jagung Bijian Tempatan Skala Besar, Kurangkan Kebergantungan Import - Mohamad Sabu
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu (tengah) bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Varieti Jagung Bijian Tempatan dan Penanaman Jagung Bijian Berskala Besar di Genting Tanah Merah Estate hari ini. Turut sama Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Isham Ishak.

SEPANG, 17 Ogos (Bernama) -- Malaysia hari ini melangkah ke arah mengurangkan kebergantungan kepada import jagung bijian menerusi pengeluaran tempatan berskala besar, susulan keperluan negara yang kini bergantung 100 peratus kepada bekalan import.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah itu penting dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara, terutama mengambil kira ketidaktentuan geopolitik dan risiko gangguan rantaian bekalan global.

"Inilah usaha kita dengan MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia), Alhamdulillah, (MARDI) mengeluarkan (varieti) bijian MZ1 dan MZ2 yang boleh terlibat dalam (projek) skala besar di Genting Tanah Merah Estate Sepang ini. Dan inisiatif ini kita harap berterusan.

"Sekarang ini kita mula secara skala besar untuk menghasilkan jagung bijian tempatan. Sebelum ini kita dapat mengusahakan bawang dan kali ini jagung. Yang paling penting kerjasama syarikat-syarikat besar," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Varieti Jagung Bijian Tempatan dan Penanaman Jagung Bijian Berskala Besar di sini, hari ini.

Mengangkat tema 'Memperkasakan Industri Jagung Bijian, Memperkukuh Keterjaminan Makanan Negara', Mohamad berkata projek penanaman jagung bijian berskala besar itu ketika ini melibatkan keluasan kawasan penanaman kira-kira 400 hektar, dengan hasil pertama dijangka pada penghujung tahun ini.

"Kerjasama dengan syarikat swasta termasuk Genting Plantations Bhd amat penting bagi memastikan usaha membangunkan industri jagung bijian tempatan dapat dilaksanakan secara komersial dan berskala besar," katanya.

Beliau berkata pengeluaran tempatan pada peringkat awal dijangka menyumbang kira-kira tiga hingga empat peratus daripada keperluan negara, dan sasaran mencapai 30 peratus memerlukan pengembangan kawasan tanaman secara besar-besaran.

Mohamad berkata negara kini mengimport kira-kira 2.5 juta tan jagung bijian bernilai RM3 bilion setahun, menjadikan usaha meningkatkan pengeluaran tempatan penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar.

“Jadi kalau tahun depan, mungkin dapat tiga hingga empat peratus,” katanya.

Projek penanaman jagung bijian berskala besar turut dirancang di Perlis melibatkan kira-kira 2,500 hektar dan Sarawak 5,500 hektar, selain penanaman yang telah dimulakan di Perak, Johor dan Pahang.

Optimis dengan pengeluaran jagung bijian tempatan, beliau berkata projek rintis itu berpotensi membantu menstabilkan harga ayam dan telur kerana komoditi berkenaan antara bahan utama makanan ternakan.

“Insya-Allah, sebab harga ayam bergantung kepada makanan ayam ... soya dan jagung bijian kita import 100 peratus. Sekarang ini jagung bijian kita dah ada teknologi untuk usahakan,” katanya. 

-- BERNAMA