Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri
Laporan siri pertama ini menjelaskan mengenai pembayaran zakat secara digital yang mempunyai ciri keselamatan kukuh, namun risiko penipuan seperti manipulasi pengguna melalui phishing, pautan dan laman sesawang palsu, kod QR serta penyamaran saluran rasmi masih perlu diberi perhatian.
KOTA BHARU, 14 Ogos (Bernama) -- Pada era digital ini, boleh dikatakan hampir segala urusan dapat diselesaikan di hujung jari, termasuk kewajipan menunaikan zakat yang merupakan rukun Islam ketiga.
Melalui saluran digital, pembayaran zakat boleh dilakukan dengan pantas tanpa perlu hadir ke pejabat pusat pungutan zakat, sekali gus menjimatkan masa dan kos.
Di Wilayah Persekutuan, Pusat Pungutan Zakat-MAIWP (PPZ-MAIWP) menyediakan pelbagai saluran pembayaran digital, termasuk Portal PPZ-MAIWP, Kaunter Zakat Digital (KZD), perbankan internet, e-Wallet, portal dalam talian, e-Mandate dan autodebit.
Meskipun kepelbagaian saluran itu memberikan lebih banyak pilihan kepada pembayar untuk menunaikan kewajipan, aspek keselamatan perlu diberi perhatian seiring dengan peningkatan penggunaan transaksi digital.
Apabila urusan pembayaran semakin mudah dilakukan melalui telefon pintar dan platform dalam talian, apakah risiko yang mungkin dihadapi pembayar dan sejauh mana mereka mampu memastikan transaksi yang dilakukan benar-benar selamat?
Pengguna bukan sahaja perlu memastikan jumlah bayaran yang dimasukkan tepat, malah perlu memastikan mereka menggunakan saluran pembayaran yang sah dan bukannya pautan atau laman sesawang palsu serta kod QR yang telah dimanipulasi.
RISIKO EKSPLOITASI KELEMAHAN PENGGUNA
Pensyarah Pusat Kajian Keselamatan Siber, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Masnizah Mohd berkata pembayaran zakat secara digital pada amnya selamat sekiranya dilakukan melalui platform dan saluran rasmi yang mempunyai kawalan keselamatan yang baik.
Beliau berkata teknologi seperti penyulitan data, pengesahan identiti dan pemantauan transaksi dapat membantu melindungi maklumat serta wang pengguna.
Masnizah berkata penipuan yang mengeksploitasi kecuaian manusia, termasuk melalui pancingan data (phishing), pautan dan laman sesawang palsu serta penyamaran sebagai institusi zakat, juga perlu diberi perhatian.
“Pengguna perlu memastikan pembayaran dibuat melalui saluran rasmi, manakala institusi zakat perlu terus memperkukuh pemantauan dan pengesanan transaksi mencurigakan.
“Kesedaran, pendidikan dan sikap cakna adalah mekanisme penting dalam melindungi pengguna daripada menjadi mangsa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Masnizah yang juga Timbalan Pengarah (Strategi dan Aplikasi), Pusat Teknologi Digital (DigitalUKM), UKM berkata antara kaedah yang berisiko ialah penggunaan WhatsApp, SMS, e-mel atau media sosial untuk menghantar pautan atau kod QR yang kelihatan seperti saluran pembayaran rasmi.
Beliau berkata pengguna yang mengakses pautan berkenaan berkemungkinan dibawa ke laman sesawang palsu yang menyerupai laman rasmi bagi mencuri maklumat perbankan, kata laluan atau kod pengesahan, manakala kod QR pula boleh membawa kepada akaun penerima yang bukan milik institusi zakat.
“Pengguna tidak seharusnya menilai keselamatan berdasarkan rupa atau penampilan sesuatu pautan, laman sesawang atau kod QR semata-mata. Saluran pembayaran perlu disahkan daripada sumber rasmi sebelum sebarang transaksi dibuat,” katanya.
Masnizah berkata platform pembayaran zakat juga perlu mempunyai pertahanan berlapis, termasuk penyulitan data, pengesahan identiti yang kukuh, pengesahan transaksi, kawalan akses serta pemantauan transaksi secara masa nyata.
Beliau berkata sistem pembayaran sepatutnya membolehkan pengguna menyemak nama penerima dan jumlah transaksi sebelum kelulusan akhir bagi memastikan transaksi yang diluluskan adalah seperti yang dikehendaki.
“Jika nama penerima (zakat) atau jumlah tidak sepadan, transaksi perlu dibatalkan. Pendekatan ini lebih selamat kerana pengguna bukan sekadar mengesahkan bahawa transaksi itu berlaku, tetapi dapat memastikan apa yang sebenarnya sedang diluluskan,” katanya.
Beliau berkata pengguna juga perlu menyemak alamat laman sesawang, nama penerima, jumlah dan saluran pembayaran sebelum menekan butang “bayar”, selain mengutamakan akses terus ke laman rasmi institusi zakat berbanding menggunakan pautan yang diterima melalui mesej atau media sosial.
PENGGUNA MAHU MUDAH, KESELAMATAN DIUTAMAKAN
Bagi pembayar zakat, Mohd Aliff Ashraf Ismail, 35, kepelbagaian saluran pembayaran digital yang disediakan PPZ-MAIWP, termasuk Portal PPZ-MAIWP, perbankan internet dan e-Wallet, memudahkannya memilih kaedah yang sesuai untuk menunaikan zakat tanpa perlu hadir secara fizikal ke kaunter.
Beliau berkata kemudahan itu menjadikan urusan pembayaran lebih cepat dan fleksibel kerana boleh dilakukan pada bila-bila masa, namun aspek keselamatan tetap perlu diberi perhatian, terutama dengan memastikan transaksi dibuat melalui saluran rasmi dan menyemak semula butiran bayaran sebelum pengesahan.
“Kemudahan pembayaran secara digital perlu disertai kesedaran pengguna untuk tidak terburu-buru membuat transaksi, khususnya apabila menerima pautan atau maklumat pembayaran daripada sumber yang tidak dapat dipastikan kesahihannya,” katanya.
Seorang lagi pembayar zakat, Siti Khadijah Afiyah Muhammad Syafiq, 29, berkata kemudahan Portal PPZ-MAIWP serta pelbagai saluran pembayaran digital membolehkannya menunaikan zakat dengan lebih mudah menerusi telefon pintar tanpa perlu hadir ke kaunter.
Beliau berkata pilihan seperti perbankan internet dan e-Wallet memberikan fleksibiliti kepada pengguna, khususnya golongan muda yang sudah biasa melakukan urusan kewangan secara dalam talian.
Namun, katanya, kemudahan itu perlu digunakan dengan berhati-hati kerana pengguna perlu memastikan platform yang digunakan ialah saluran rasmi serta tidak mudah mempercayai pautan, kod QR atau arahan pembayaran yang diterima daripada pihak yang tidak dikenali.
Beliau berkata keyakinan untuk membayar zakat secara digital bukan sahaja bergantung pada kemudahan yang disediakan tetapi turut mengambil kira aspek perlindungan maklumat peribadi pembayar zakat.
-- BERNAMA