Am 14/08/2026 05:16 PM

Kerajaan Tawar Penyelesaian Dalam Kes Pertikaian Pampasan Tanah Semantan Estate

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kerajaan Tawar Penyelesaian Dalam Kes Pertikaian Pampasan Tanah Semantan Estate

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini dimaklumkan bahawa kerajaan telah membuat tawaran kepada Semantan Estate (1952) Sdn Bhd bagi menyelesaikan isu pampasan melibatkan tanah seluas 263.272 ekar di lokasi utama yang dikenali sebagai Enklaf Duta.

Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan memaklumkan Hakim Roslan Mat Noor bahawa beliau menerima arahan untuk mengemukakan tawaran itu semalam, dan berkata semua cadangan penyelesaian perlu terlebih dahulu diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

"Yang Arif, kami ingin menyelesaikan kes ini secepat mungkin tetapi untuk bersikap adil kepada plaintif (Semantan Estate), saya yakin mereka memerlukan masa untuk berbincang dengan klien mereka sebelum membuat keputusan sama ada perkara ini boleh diselesaikan secara aman," katanya.  

Susulan itu, peguam Ira Biswas yang mewakili Semantan Estate memohon penangguhan dan Nurhafizza tidak membantah permohonan tersebut.

Bagaimanapun, butiran tawaran itu tidak didedahkan kepada mahkamah.  

Roslan kemudian memutuskan bahawa walaupun mahkamah mempunyai budi bicara untuk memberi penangguhan, ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya apabila tarikh perbicaraan telah ditetapkan.

"Budi bicara untuk menangguhkan sesuatu perbicaraan itu adalah terletak kepada mahkamah.

“Namun, adalah penting untuk dinyatakan di sini, mahkamah tidak boleh dengan sewenang-wenangnya menangguhkan sesuatu perbicaraan," kata hakim itu yang kemudian memanggil saksi pertama plaintif, juruukur bertauliah Foo Gee Jen untuk memberi keterangan.

Dalam keterangannya, Foo, penilai hartanah bertauliah yang berpengalaman hampir 40 tahun, berkata beliau diarahkan untuk menilai pampasan bagi tanah berkenaan yang terletak di Mukim Batu selaras dengan perintah Mahkamah Rayuan bertarikh 24 Jun 2025 serta menentukan nilai pasarannya. 

Beliau berkata selepas meletakkan pelan survei kerajaan ke atas susunan tapak semasa, pasukannya mendapati lebuh raya utama seperti Jalan Duta, Lebuhraya Baharu Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Jalan Duta-Sungai Buloh sudah dipaparkan pada peta walaupun ia dibangunkan selepas tahun 1956.

Penilai tanah bertauliah itu berkata dokumen yang digunakan oleh kerajaan tidak mewakili dengan tepat keadaan fizikal sebenar atau persekitaran tanah tersebut pada masa berkenaan.

Perbicaraan akan diteruskan pada 21 Ogos ini.

Pada 13 Nov 2025, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Semantan Estate bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan tidak perlu mendaftarkan tanah seluas 263.272 ekar di Enklaf Duta atas nama syarikat berkenaan.

Justeru, keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada kerajaan kekal berkuat kuasa kerana syarikat itu tidak boleh meneruskan rayuannya ke Mahkamah Persekutuan dan kes itu kemudian dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran bagi pentaksiran ganti rugi.

Pada 24 Jun 2025, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Semantan Estate tidak berhak ke atas hak milik tanah itu tetapi syarikat berkenaan berhak mendapat pampasan sewajarnya berdasarkan nilai tanah tersebut pada tahun 1956, apabila ia diambil alih oleh kerajaan.

Tanah yang terletak di lokasi utama Jalan Duta itu menempatkan antaranya Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan.

Pada 2003, Semantan Estate memfailkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan pencerobohan yang berpunca daripada pengambilan tanah secara tidak sah daripada syarikat itu.

Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa Semantan Estate mengekalkan kepentingan benefisialnya terhadap tanah seluas 263.27 ekar itu yang diambil alih oleh kerajaan secara tidak sah serta melakukan pencerobohan ke atas tanah terbabit.

-- BERNAMA