Oleh Shuhaida Mohd Said
CHANGLUN, 14 Ogos (Bernama) -- Usia tidak menjadi alasan untuk berhenti menyumbang kepada negara buat tiga warga emas di sini apabila perasaan tanggungjawab mendorong mereka untuk terus berbakti kepada masyarakat.
Pesara guru Zainol Abidin Mohamad, 68, yang mesra disapa Cikgu Non berkata kecintaan terhadap anak bangsa mendorongnya mengorbankan tenaga dan wang sendiri termasuk membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk membantu pelajar yang berhadapan masalah kewangan.
Baginya, setiap anak berhak mendapat peluang untuk belajar dan membina masa depan tanpa ada yang tercicir hanya kerana tidak mampu menanggung kos pendidikan.
“Saya gembira melihat anak bangsa berjaya. Macam-macam saya lakukan seperti beri kelas tambahan Matematik dan tawarkan insentif wang jika mereka memperoleh keputusan cemerlang,” katanya kepada Bernama di sini.
Cikgu Non berkata apa yang dilakukan bukan untuk nama atau keuntungan, sebaliknya disebabkan oleh rasa tanggungjawab terhadap masa depan generasi muda yang menjadi aset negara.
Berkongsi kisah paling tidak dapat dilupakan, Cikgu Non berkata pernah mengeluarkan hampir RM40,000 sebagai insentif kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Bila diingatkan balik, agak kelakar. Saya diminta guru untuk memberikan nasihat kepada pelajar kelas belakang yang asyik gagal termasuk pada peperiksaan percubaan SPM. Bila jumpa, saya beritahu mereka akan beri RM3,000 kepada sesiapa yang dapat 7A ke atas.
“Masa itu tidak begitu memikirkan (kesannya) dan saya sendiri lupa sampailah hari pengumuman keputusan SPM, 13 pelajar kelas itu berjaya dapat keputusan cemerlang dan saya tunaikan janji beri RM3,000. Kini, mereka masing-masing sudah berjaya,” katanya.
Zainol Abidin berkata walaupun terpaksa mengeluarkan belanja yang besar, dirinya tidak pernah sekalipun berasa rugi, malah amat berbangga kerana dapat menyuntik semangat untuk pelajar berusaha mencapai kejayaan demi masa depan mereka.
Semangat sama turut ditunjukkan pesara Universiti Utara Malaysia dan Kementerian Kesihatan Shoberi Hashim, 70, serta sahabat baiknya Fadilah Abdullah, 72, yang masih gagah mengabdikan diri dalam kerja kebajikan dan sukarelawan.
Selepas puluhan tahun menabur bakti dalam perkhidmatan awam, mereka tidak memilih untuk berehat selepas bersara, sebaliknya terus turun padang untuk membantu masyarakat dan menguruskan rumah perlindungan untuk golongan yang memerlukan.
“Selagi tenaga masih ada, wajar digunakan sebaik mungkin. Kami juga aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), menyertai pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan tidak kekok melakukan kerja yang memerlukan masa, tenaga serta pengorbanan peribadi,” kata Shoberi.
Shoberi berkata rasa bersyukur kerana dikurniakan kesihatan yang baik sehingga masih boleh berkhidmat kepada masyarakat walaupun hanya dengan kudrat.
Sementara itu, Fadilah berkata semua usaha itu dilakukan tanpa mengharapkan keuntungan atau balasan, jauh sekali menjadikannya sebagai platform mendapatkan pengaruh atau kedudukan.
“Kami buat secara sukarela dan tidak fikir pasal elaun, kami tetap cuba sumbangkan tenaga selagi termampu,” katanya.
Fadilah berkata selagi hayat dikandung badan, biarlah mereka dan rakan yang berminat menyumbangkan bakti sebagai antara cara untuk menzahirkan rasa cinta terhadap tanah air.
Kisah tiga warga emas itu memberikan makna tersendiri sempena Bulan Kebangsaan dan meskipun perjuangan mereka mungkin tidak mendapat perhatian, namun setiap ringgit, masa dan keringat yang dicurahkan menjadi sebahagian daripada keindahan rakyat Malaysia.
-- BERNAMA