KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Tabung Haji (TH) perlu diinstitusikan melalui perundangan dan mekanisme pengawasan yang ampuh bagi memastikan kelestarian tatakelola melangkaui perubahan pentadbiran kerajaan.
Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berkata meskipun 75 peratus daripada 25 syor RCI telah dilaksanakan melalui pasukan kerja khas, angka itu belum menjamin pembaharuan berkenaan tidak akan “berpatah balik” pada masa hadapan.
Sehubungan itu, beliau berkata setiap syor dalam laporan perlu mempunyai status audit yang telus, merangkumi tarikh pelaksanaan, agensi bertanggungjawab dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas, selain laporan kemajuan tahunan dibentangkan di Parlimen.
“Kuncinya ialah menginstitusikan reformasi, bukan mempersonalisasikannya. Perkara kritikal seperti larangan lantikan politik aktif, kriteria kelayakan profesional, struktur panel pelaburan, piawaian perakaunan dan penalti perlu dikunci dalam undang-undang, bukan sekadar pekeliling pentadbiran,” katanya kepada Bernama.
Mengulas aspek semak dan imbang, Awang Azman yang juga Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia berkata dapatan RCI membuktikan isu TH bukan semata-mata melibatkan beberapa keputusan pelaburan yang salah, sebaliknya berpunca daripada kelemahan sistemik dalam struktur membuat keputusan.
Beliau berkata RCI secara jelas mengaitkan pelantikan ahli politik aktif dan konflik kepentingan dengan kemerosotan kredibiliti TH, sekali gus menyokong syor supaya golongan itu dilarang memegang jawatan pengerusi atau anggota lembaga.
“Pengajarannya ialah institusi yang mengurus wang rakyat tidak boleh bergantung kepada integriti seseorang pengerusi atau menteri semata-mata. Sistem mesti cukup kuat untuk mengatakan ‘tidak’ kepada keputusan yang tidak munasabah walaupun terdapat tekanan daripada pihak yang berkuasa,” katanya.
Mengenai pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), Awang Azman menyifatkannya sebagai langkah penting, namun menegaskan perubahan struktur undang-undang perlu disokong dengan penguatkuasaan yang ketat.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya empat lapisan diwujudkan secara serentak, termasuk lembaga profesional dan bebas, panel pelaburan yang mempunyai asas undang-undang, pengawal selia luar yang benar-benar bebas serta pelaporan berkala kepada Parlimen dan orang ramai.
Mengulas lanjut, Awang Azman berkata ketelusan, akauntabiliti dan kebebasan juga perlu bergerak seiring bagi memastikan keputusan berkaitan TH dibuat berasaskan kepentingan pendeposit.
Beliau berkata kegagalan melaksanakan reformasi RCI secara menyeluruh berisiko mencetuskan krisis kepercayaan, memandangkan peranan TH sebagai institusi kewangan yang berkait rapat dengan ibadah umat Islam.
Senada dengan pandangan itu, Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Syaza Farhana Mohamad Shukri berkata pengukuhan institusi harus berupaya melindungi TH daripada sebarang bentuk campur tangan politik.
Kekuatan sesebuah organisasi, katanya tidak seharusnya bersandarkan kepada personaliti individu yang memegang jawatan menteri, sebaliknya memerlukan sistem yang mampu membezakan antara pengawasan kerajaan dengan campur tangan dalam keputusan profesional.
“Pindaan Akta (Akta 535) untuk mengehadkan kuasa tertentu dan memperkukuh kebebasan lembaga merupakan langkah penting, tetapi undang-undang sahaja tidak cukup. Ia perlu disokong oleh sistem yang lebih kukuh dan telus.
“Kerajaan dan menteri akan bertukar. Ukuran sebenar kejayaan pelaksanaan RCI TH bukan hanya berapa banyak yang telah dilaksanakan, tetapi sama ada perubahan tersebut mampu bertahan apabila berlaku pertukaran kerajaan,” katanya.
Syaza Farhana berkata kegagalan melaksanakan reformasi itu secara menyeluruh memberi kesan paling besar kepada kepercayaan orang ramai terhadap TH serta institusi awam secara amnya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Badlishah Sham Baharin berkata tatakelola telus dan mekanisme pengawasan yang bebas daripada campur tangan politik perlu menjadi keutamaan bagi memulihkan keyakinan awam terhadap institusi pengurusan dana awam negara.
Beliau berkata pengukuhan tatakelola melalui pengawasan ketat, pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) serta amalan perakaunan yang bertanggungjawab amat penting bagi mengelakkan keputusan pelaburan berisiko tinggi dan manipulasi kewangan pada masa hadapan.
“Dalam memperbaiki sistem tatakelola TH, individu yang mempunyai merit, kompetensi, integriti dan kepakaran perlu ditempatkan pada kedudukan yang sesuai. Mekanisme pengawasan juga perlu diwujudkan bagi memastikan prosedur, undang-undang dan had kuasa dipatuhi,” katanya.
Justeru, bagi menghapuskan konflik kepentingan secara sistemik, beliau mencadangkan supaya had ketat dikenakan terhadap pemegangan jawatan dalam lembaga pengarah oleh pengurusan tertinggi serta menyokong penubuhan badan kawal selia bebas bagi institusi kewangan bukan bank yang menguruskan dana awam.
-- BERNAMA