Am 14/08/2026 10:28 AM

TH Perlu Elak Tekanan Kejar Pulangan Tinggi, Sebaliknya Tumpu Asas Stabilkan Pendapatan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
TH Perlu Elak Tekanan Kejar Pulangan Tinggi, Sebaliknya Tumpu Asas Stabilkan Pendapatan
Penganalisis Korporat dan Perniagaan, Prof Adjung di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mohamad Faisal Abdul Malik

Oleh Nurul Jannah Kamaruddin dan Mohd Noor Azeery Idris

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Penekanan aspek seperti kestabilan pendapatan, kecairan dan keselamatan modal perlu terus menjadi asas bagi dasar pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) memandangkan institusi itu menguruskan simpanan yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa.

Penganalisis Korporat dan Perniagaan, Prof Adjung di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mohamad Faisal Abdul Malik berkata perkara asas sedemikian perlu terus diambil kira tanpa tekanan untuk mendapatkan pulangan yang tinggi.

Sehubungan itu, beliau yang juga akauntan bertauliah berkata instrumen pendapatan tetap patuh Syariah, khususnya sukuk berkualiti tinggi, dijangka terus menjadi pemacu utama pendapatan pelaburan TH bagi mendorong prestasi lebih kukuh dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

“Maknanya dalam konteks ini, pengurus dana Tabung Haji perlu mencari keseimbangan dalam konteks memaksimumkan dan mengoptimumkan pulangan tanpa mengambil risiko yang tinggi.

“Oleh itu, disiplin pengurusan portfolio yang lebih berdisiplin amat diperlukan, bukan hanya mengejar aset yang menawarkan pulangan yang tinggi semata-mata,” katanya kepada Bernama.

Menjelaskan selanjutnya, Mohamad Faisal berkata ujian sebenar adalah sama ada TH mampu untuk mengekalkan prestasi pulangan bagi tempoh kitaran beberapa tahun akan datang tanpa mengambil risiko yang berlebihan.

Pada 2025, institusi itu mencatat pendapatan pelaburan RM4.64 bilion yang juga tertinggi sejak 2018 manakala aset sebanyak RM98.58 bilion yang melebihi liabiliti berjumlah RM95.63 bilion.

Keadaan itu menunjukkan proses pembersihan portfolio TH mula membuahkan hasil, namun prestasi baik dalam tempoh satu atau dua tahun masih belum memadai untuk membuktikan pulangan yang benar-benar konsisten, katanya.

Ini berikutan tiga tanggungjawab dengan keperluan berbeza iaitu menguruskan simpanan pendeposit yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa, membiayai serta mengendalikan operasi haji selain memenuhi mandat menjana pulangan pelaburan, juga boleh memberi tekanan kepada TH.

Sehubungan itu, beliau berkata model lebih baik adalah menerusi langkah pengasingan fungsi supaya setiap mandat dapat dilaksanakan dengan lebih fokus tanpa mengambil risiko tinggi.

“TH kena fokus pada terasnya, penubuhan asal dan fungsi. Maknanya, fungsi lain, contohnya (pengawalseliaan dan pengurusan dana) pelaburan dimandatkan kepada sama ada agensi-agensi yang lebih berautoriti, contohnya Suruhanjaya Sekuriti Malaysia ataupun Bank Negara Malaysia,” katanya.

 Mohamad Faisal juga menegaskan setiap pelaburan juga perlu melalui penilaian bebas, analisis risiko yang ketat dan ujian tekanan, selain mendapatkan pandangan kedua daripada pakar sebelum keputusan pelaburan berskala besar dibuat seperti pembelian hartanah atau pengambilalihan syarikat.

Beliau juga menganggap pengasingan aset bermasalah, pengiktirafan kerugian dan rosot nilai serta penyusunan semula portfolio kini dilihat lebih memperkukuh disiplin pelaburan TH.

Justeru, katanya, TH kini berada dalam kedudukan yang lebih baik berbanding 2017.

Pada masa sama, beliau berpendapat TH perlu meningkatkan produktiviti aset sedia ada dengan melakukan penilaian aset sama ada perlu dipulihkan, disusun semula atau dilupuskan secara berperingkat.

Beliau berkata pelaksanaan syor-syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) secara berkesan, termasuk memperkemas struktur lembaga pengarah, tanggungjawab jawatankuasa, proses penilaian risiko dan keputusan pelaburan, dilihat mampu membantu memulihkan kewangan Tabung Haji dan keyakinan pendeposit.

“Bagi saya, RCI adalah satu titik tolak yang bagus...daripadanya ada banyak cadangan untuk pelan pemulihan dan sekiranya pelan itu disambut dengan baik dalam konteks pelaksanaan, ini semestinya akan membuahkan hasil yang lebih baik,” katanya.

Laporan RCI TH telah didedahkan kepada umum pada 29 Julai lepas yang menyenaraikan pelbagai kelemahan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 selain turut mengemukakan 25 syor penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai 2026.

Susulan itu, kerajaan telah mengadakan sesi penerangan menerusi Mesyuarat Khas Dewan Rakyat mengenai laporan RCI berkaitan TH oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan di Dewan Rakyat pada 11 Ogos lepas.

Pada sesi penggulungan, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mendedahkan TH mencatat kerugian hampir RM13 bilion menerusi 14 pelaburan bermasalah dengan tujuh daripadanya merekodkan kerugian 100 peratus.

Kerugian hampir RM13 bilion itu merangkumi RM10.2 bilion yang ditanggung kerajaan menerusi langkah penyelamatan melalui Urusharta Jamaah Sdn Bhd pada 2018 serta rosot nilai RM2.6 bilion yang ditanggung TH antara 2018 hingga 2025 bagi pelaburan yang masih diuruskan.

-- BERNAMA