Am 14/08/2026 08:44 AM

Sekolah Henry Gurney Sediakan Peluang Kedua Pesalah Juvana Melalui Sukan

Oleh Muhammad Zulkarnain Mohd Azman Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:

Bahagian terakhir daripada laporan bersiri dua artikel ini mengimbau kejayaan Sekolah Henry Gurney Telok Mas dalam membangunkan atlet negeri dan kebangsaan, khususnya sukan Muay Thai dan tinju, menerusi Projek Misi Podium.

 

Penampilan pertama mereka di Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 mencipta kejutan apabila menyumbang satu pingat emas dan dua gangsa kepada kontinjen Melaka, dan sejak itu, atlet yang dilahirkan oleh Sekolah Henry Gurney  (SHG) Telok Mas terus mencipta nama di temasya dwitahunan berkenaan.

Edisi SUKMA Selangor 2026  juga tidak terkecuali dengan sandaran diberikan kepada lapan bintang  - seorang perempuan dan tujuh lelaki - untuk mempamerkan kejaguhan mereka di temasya yang akan bermula esok (15 Ogos) itu. 

Perkembangan ini mungkin sukar dipercayai pada satu ketika dahulu kerana, institusi Henry Gurney merupakan tempat pesalah bawah umur menjalani pemulihan akhlak selepas disabitkan dengan pelbagai kesalahan oleh mahkamah.

Selain itu, stigma sebagai “penghuni” Henry Gurney juga melekat pada mereka hingga alam dewasa, dan sedikit sebanyak menyukarkan kehidupan mereka. Namun, kini, stigma tersebut kian terhakis apabila saban tahun institusi ini, khususnya SHG Telok Mas, terus melahirkan atlet berkaliber, bukan hanya di peringkat institusi tetapi juga negeri dan kebangsaan.

 

MELAHIRKAN ATLET, MEMBINA KEHIDUPAN

Pada 2017, dengan matlamat memberi mereka peluang kedua untuk membina kehidupan yang lebih baik apabila kembali ke pangkuan masyarakat, Jabatan Penjara Malaysia bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka memperkenalkan Projek Henry bagi mencungkil bakat sukan dalam kalangan pelatih. 

Kejayaan yang dicapai oleh atlet SHG Telok Mas pada SUKMA 2018, mendorong KBS memperluas program pembangunan sukan di institusi itu untuk sukan seperti tinju, Muay Thai dan angkat berat bagi membuka laluan ke skuad kebangsaan.

 Pada 2023, inisiatif itu dijenamakan semula sebagai Projek Misi Podium dengan matlamat kekal sama, iaitu menggunakan sukan sebagai medium pemulihan, membentuk disiplin dan membuka peluang kedua kepada remaja di institusi berkenaan.

Di peringkat negeri Melaka pula, atlet daripada SHG Telok Mas terus menjadi ayam tambatan untuk menyumbang pingat kepada kontinjen; satu harapan yang belum dihampakan sejak 2018.

Pada SUKMA 2022, mereka menyumbang empat pingat gangsa menerusi sukan Muay Thai sementara pada edisi 2024 pula, atlet SHG Telok Mas membawa pulang satu perak dan dua gangsa menerusi acara tinju dengan fokus untuk edisi tahun ini juga adalah pada acara itu.

 

KEJAYAAN YANG MELANGKAUI PINGAT

Mengulas kejayaan program pembangunan sukan di sekolah itu yang menumpukan pada Muay Thai, tinju dan angkat berat, Pengarahnya Triyo Kurniawan Kusmadi menegaskan ukuran sebenar kejayaan bukan pada jumlah pingat yang dibawa pulang.

Sebaliknya, kata beliau, matlamat sebenar mereka adalah memastikan pelatih mampu mengubah kehidupan melalui sukan.

"Kalau mereka cakap mereka berjaya, mereka kena buktikan. Buktikan kepada masyarakat, kepada keluarga dan kepada diri sendiri bahawa mereka boleh berjaya.

"(Apabila keluar kelak) Mereka perlu bekerja, mempunyai pendapatan dan memberi manfaat kepada masyarakat," katanya.

Tegasnya,  ini kerana walau sehebat mana pencapaian seseorang atlet, kejayaan itu tidak membawa makna tanpa disiplin kerana, nilai itulah yang akan menentukan sama ada pelatih mampu meneruskan kehidupan selepas meninggalkan institusi berkenaan.

(SHG Telok Mas merupakan Sekolah Henry Gurney pertama di negara ini; mula beroperasi secara rasmi pada 1949 sebagai pusat pemulihan akhlak pesalah muda dengan nama asalnya High Moral School. Institusi ini yang diletakkan di bawah seliaan Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, dinamakan semula bersempena dengan nama Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya pada masa itu, Sir Henry Gurney, pada Mei 1950.

SHG Telok Mas juga adalah antara tiga SHG yang menempatkan pelatih perempuan. Pada masa ini terdapat empat Sekolah Henry Gurney di seluruh negara termasuk dua di Sabah dan satu di Sarawak.) 

 

KEYAKINAN YANG DIBINA

Bagi atlet angkat berat Suhaila (bukan nama sebenar), 18, sukan bukan sekadar membuka ruang untuknya bertanding di kejohanan dan mencipta nama, tetapi turut menjadi titik perubahan dalam perjalanan hidupnya.

Mengakui dirinya sebelum ini mudah berputus asa, remaja ini tidak pernah menyangka dapat mencapai kejayaan yang membanggakan dalam hidupnya. 

Menurutnya, rutin latihan, disiplin harian dan dorongan jurulatih sedikit demi sedikit mengubah keyakinannya terhadap diri sendiri.

“Dulu saya cepat mengalah, tetapi sukan mengajar saya untuk terus bangkit setiap kali tersungkur sehingga saya akhirnya mula percaya yang saya juga ada potensi untuk berjaya. Saya kini percaya yang saya masih ada masa depan untuk dibina,” kongsinya dengan Bernama.

 

JURULATIH DI SEBALIK PERUBAHAN

Pengalaman Suhaila bukan sesuatu yang luar biasa di Sekolah Henry Gurney.

Jurulatih Muay Thai, Wan Mohd Alwi Wan Mohd Nor yang membimbing pelatih di institusi itu sejak 2018, berkata perubahan paling ketara yang dapat dilihat bukanlah pada teknik bertanding bagi memastikan kemenangan, sebaliknya pada sikap pelatih.

"Semasa latihan,  kita bukan sahaja mengajar teknik bertanding, tetapi kita juga ajar mereka menghormati jurulatih, menghormati rakan sepasukan dan mematuhi disiplin.

"Lama-kelamaan kita nampak perubahan. Mereka menjadi lebih yakin, lebih berani berkomunikasi dan mula percaya mereka juga mampu berjaya seperti atlet lain," katanya.

Menurut beliau, sukan memberi peluang kepada pelatih membina identiti baharu, manakala kejayaan di gelanggang pula membuka ruang untuk mereka mengabsahkan nilai mereka di mata masyarakat.

"Harapan saya, apabila mereka keluar nanti, mereka terus menggunakan apa yang dipelajari dalam sukan untuk membina kehidupan yang lebih baik. Saya juga berharap masyarakat melihat mereka sebagai individu yang sedang berubah, bukannya terus menghukum disebabkan oleh masa silam mereka," katanya.

 

SAINS DI SEBALIK PELUANG KEDUA

Sementara itu, pakar psikologi sukan Prof Madya Dr Garry Kuan menjelaskan sukan berfungsi sebagai alat sosialisasi semula dan pembangunan kendiri yang sangat berkesan, khususnya bagi remaja di institusi pemulihan.

Beliau berkata golongan itu lazimnya berdepan dengan emosi yang tidak stabil, identiti diri yang terganggu serta kekurangan sistem sokongan sosial, dan sukan menyediakan ruang yang selamat untuk mereka membina semula keyakinan tersebut.

Melalui latihan yang dijalani secara konsisten, pelatih bukan hanya membina kecergasan diri, tetapi turut meningkatkan harga diri, kepercayaan terhadap kebolehannya selain memupuk semangat “kekitaan” sebagai sebahagian daripada sebuah pasukan. 

"Sukan bertindak sebagai terapi tingkah laku yang praktikal. Apabila mereka mula melihat diri sebagai seorang atlet dan sebahagian daripada sebuah pasukan, mereka secara perlahan-lahan meninggalkan label negatif yang pernah membelenggu kehidupan mereka

“Dari sudut kognitif, mereka belajar merancang, berfikir secara strategik dan menyelesaikan masalah. Dari sudut emosi, mereka menjadi lebih tenang, mampu mengawal impuls serta membina daya tahan mental apabila berdepan kegagalan.

“Dalam aspek sosial pula, mereka mempelajari kemahiran berkomunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan, sekali gus memudahkan proses mereka kembali menyesuaikan diri dalam masyarakat,” ujarnya.

 

LEBIH DARIPADA SEBUAH GELANGGANG

Dr Kuan berkata disiplin latihan juga bertindak sebagai satu bentuk latihan otak yang membentuk cara seseorang membuat keputusan.

Melalui penetapan matlamat, kawalan kendiri serta pemahaman bahawa setiap usaha mempunyai ganjarannya, remaja secara beransur-ansur membina pemikiran yang lebih berorientasikan masa depan.

"Pada pandangan saya, sukan bukan sekadar menghasilkan atlet tetapi adalah alat transformasi kehidupan.

"Dalam konteks remaja di institusi pemulihan, sukan boleh menjadi titik perubahan, medium untuk keluar daripada kitaran tingkah laku negatif dan platform membina masa depan yang lebih bermakna.

"Kita perlu melihat sukan bukan sebagai aktiviti sampingan, tetapi sebagai intervensi psikososial yang strategik kerana bidang ini menyentuh aspek fizikal, psikologi dan sosial secara serentak," jelas beliau.