Am 13/08/2026 08:10 PM

Pelajar Tingkatan Lima Tidak Digilis Kenderaan Dipandu DSP Mohd Nazri - Peguam

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pelajar Tingkatan Lima Tidak Digilis Kenderaan Dipandu DSP Mohd Nazri - Peguam

IPOH, 13 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini dimaklumkan bahawa Muhammad Zaharif Affendi Muhd ​​Zamrie, 17, tidak digilis oleh kenderaan dipandu pegawai kanan polis DSP Mohd Nazri Abdul Razak seperti yang didakwa oleh beberapa saksi.

Peguam M. Athimulan berkata teori bahawa pelajar Tingkatan Lima itu "digilis" bercanggah dengan bukti forensik dan perubatan secara objektif.

Beliau berkata pakar patologi forensik telah mengesahkan bahawa kecederaan mangsa tidak konsisten dengan keadaan seseorang yang digilis kenderaan kerana tiada tulang remuk, organ hancur atau kesan tayar pada badan atau pakaian si mati.

"Yang Arif, kami dengan hormatnya berhujah bahawa bukti perubatan ini adalah fakta saintifik dan objektif serta tidak terdedah kepada kelemahan persepsi manusia. Ia secara langsung menyangkal dakwaan saksi.

"Pihak kami berhujah bahawa sekiranya keterangan saksi bercanggah dengan bukti yang dikemukakan oleh pakar perubatan maka keterangan mereka tidak boleh dipercayai," katanya ketika berhujah di akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet di sini.

Di kandang tertuduh ialah Mohd Nazri, 46, yang berdepan pertuduhan membunuh Muhammad Zaharif Affendi, 17, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati di sini antara 11.55 tengah hari hingga 12.32 tengah hari pada 15 Dis 2023.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.

Athimulan berkata ketiadaan kesan tayar pada baju dan tubuh si mati menyokong hujah pihak pembelaan bahawa insiden itu satu tragedi, iaitu mangsa “tercampak" dari motosikal selepas berlaku perlanggaran dan bukannya sengaja "digilis" manakala kecederaan yang dialami konsisten dengan kesan terjatuh di atas jalan raya.

Beliau berkata bukti perubatan menolak sepenuhnya kemungkinan bahawa keterangan lisan secara langsung saksi yang melihat kejadian itu adalah benar dan oleh itu, pihak pembelaan memohon agar keterangan tersebut ditolak.

"Keterangan saksi itu telah terjejas akibat persepsi terhadap kejadian traumatik dan dipengaruhi impak media sosial," katanya.

Peguam itu turut menyentuh mengenai implikasi kritikal yang timbul susulan kegagalan mengemukakan data "kotak hitam" kenderaan Perodua Ativa kerana ia penting untuk membina semula gambaran kejadian dan menentukan mens rea (niat jahat) di bawah Seksyen 300 Kanun Keseksaan.

"Tanpa data kotak hitam itu, pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan sama ada tertuduh cuba membrek, melencongkan kenderaan atau cuba mengelakkan perlanggaran serta sama ada kelajuan kenderaan konsisten dengan keadaan hilang kawalan dan bukannya tindakan yang disengajakan.

"Yang Arif, kami berhujah bahawa perkara-perkara ini bukanlah lompang kecil dalam kes pendakwaan, sebaliknya ia adalah asas yang menjadi teras kepada teori pihak pendakwaan mengenai niat jahat kerana pertuduhan terhadap tertuduh ialah kesalahan paling serius di bawah Kanun Keseksaan, iaitu melakukan pembunuhan melalui tindakan sengaja menggunakan kenderaan," katanya.

Athimulan, yang dibantu oleh peguam Datuk Mior Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman, akan menyambung hujah pembelaan esok.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz dengan dibantu oleh Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Monisha Pandey.

-- BERNAMA