Am 10/08/2026 02:15 PM

JENDELA Fasa Dua: Sabah Antara Lokasi Percubaan Internet Satelit Terus Ke Telefon - Fahmi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
JENDELA Fasa Dua: Sabah Antara Lokasi Percubaan Internet Satelit Terus Ke Telefon - Fahmi
Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman (tengah) menerima kunjungan hormat daripada Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil (kiri) di Istana Seri Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU, 10 Ogos (Bernama) -- Pelaksanaan teknologi Internet satelit terus ke peranti akan diuji di beberapa lokasi di Sabah menerusi pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa Dua, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata beberapa lokasi bersesuaian di negeri ini akan dikenal pasti untuk pelaksanaan proof of concept teknologi direct-to-device tersebut, yang membolehkan Internet dipancarkan terus ke telefon bimbit  melalui satelit.

“Ini kita akan lakukan mengikut JENDELA Fasa Dua. Kita akan cari lokasi di Sabah, Sarawak dan Semenanjung untuk buat percubaan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini.

Semasa kunjungan hormat yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah itu, Fahmi menyampaikan maklumat terkini mengenai beberapa inisiatif yang dilaksanakan kementerian serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Beliau berkata projek JENDELA Fasa Dua akan bermula tidak lama lagi, melibatkan lebih 300 lokasi masing-masing di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Fahmi berkata sebahagian lokasi akan melibatkan pemasangan menara, manakala lokasi lain akan menggunakan Internet satelit atau teknologi yang tidak memerlukan pemasangan menara.

“Bagi kawasan lebih terpencil tapi ada penduduk, kita menggunakan strategi berbeza kali ini,” katanya, di samping menjelaskan kerja-kerja pemasangan menara telekomunikasi memerlukan masa sekurang-kurangnya dua tahun, serta berdepan pelbagai cabaran.

Fahmi juga berkata inisiatif Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) akan menjadi pemangkin pembangunan ekonomi digital di Sabah, menerusi penyediaan perkhidmatan Internet lebih pantas dan stabil.

Beliau berkata inisiatif baharu berskala besar itu sangat bermakna yang akan menghubungkan Sedili, Kuching dan Miri di Sarawak; manakala Tanjung Aru, Sandakan dan Tawau di Sabah.

“Sebelum ini, titik pendaratan adalah di Tanjung Aru, berdekatan Kota Kinabalu tapi kita dapati kabel dasar laut perlu dipasang di pesisir pantai hinggalah ke Tawau. Ini satu inisiatif baharu yang kita percaya amat bermakna untuk membangunkan ekonomi digital di Sabah,” katanya.

Fahmi berkata pihaknya akan memastikan segala inisiatif terutama berkaitan prasarana digital di Sabah dilaksanakan mengikut jadual dan kos ditetapkan, selain komited memperkukuh celik digital dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata pemahaman baik mengenai penggunaanternet penting, bagi mengelakkan masyarakat daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian, terlibat dengan jenayah dalam talian atau menjadi mangsa jenayah siber

Fahmi berkata MCMC mengesan lebih 2,000 akaun palsu di seluruh negara dalam tempoh lima hingga enam minggu kebelakangan ini, antara lain digunakan untuk menyebarkan berita palsu, kandungan 3R serta hantaran berkaitan scam dan judi dalam talian.

“Ini satu perkara yang agak membimbangkan termasuk bagi Sabah. Kita lihat tak mustahil akaun-akaun palsu juga banyak beroperasi di Sabah.

“Saya telah maklumkan kepada TYT (Tuan Yang Terutama) bahawa pihak MCMC akan melipatgandakan usaha untuk membanteras akaun-akaun palsu terutama yang dibangunkan, diwujudkan untuk melakukan aktiviti jenayah dalam talian,” katanya.

-- BERNAMA