KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada beregu lelaki negara, Tee Kai Wun-Yap Roy King dan Soh Wooi Yik-Man Wei Chong atas kejayaan menggungguli gelaran juara dan naib juara pada Korea Masters 2026.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Ahmad Zahid berkata kejayaan itu diharapkan menjadi suntikan semangat untuk terus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
"Aksi penuh debaran dan sengit dipamerkan oleh kedua-dua gandingan baharu ini dalam pertemuan sesama sendiri.
"Syabas dan terima kasih kepada semua yang terlibat atas usaha serta komitmen yang diberikan," katanya.
Kai Wun dan Roy King merangkul gelaran juara dalam penampilan sulung mereka pada Masters Korea 2026 di Gimnasium Yi Sun-sin, Asan, semalam, selepas menumpaskan rakan senegara Wooi Yik dan Wei Chong dengan keputusan 21-13, 21-18 dalam masa 31 minit.
Kejayaan itu merupakan kali kedua Malaysia menjuarai kejohanan Masters Korea sejak 2024 yang sebelum ini dimenangi oleh gandingan Wooi Yik dan Aaron Chia.
-- BERNAMA