Dunia 09/08/2026 10:36 AM

Iran: Selat Hormuz Kekal Ditutup Sehingga AS Penuhi Tuntutan Tehran

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Iran: Selat Hormuz Kekal Ditutup Sehingga AS Penuhi Tuntutan Tehran
Kredit: Reuters

ISTANBUL, 9 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Pegawai tertinggi keselamatan Iran pada Sabtu berkata Selat Hormuz kekal ditutup sehingga Amerika Syarikat (AS) mengubah dasar yang disifatkannya sebagai dasar permusuhan terhadap Tehran serta memenuhi tuntutan Iran, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran Mohammad Bagher Zolghadr berkata Washington perlu “membetulkan tindakannya” sebelum laluan perairan strategik itu boleh dibuka semula.

Beliau menggariskan enam syarat termasuk menghentikan ancaman terhadap pemimpin tertinggi Iran, menamatkan tindakan ketenteraan terhadap Iran secara kekal dan sekutunya di rantau itu, serta mengundurkan aset tentera laut dan udara AS yang terlibat dalam apa yang disifatkannya sebagai sekatan terhadap Iran.

Syarat lain termasuk membayar pampasan kepada Tehran bagi kerosakan akibat konflik baru-baru ini, menarik balik sekatan AS serta membebaskan aset Iran yang dibekukan.

Zolghadr berkata tuntutan itu mencerminkan kehendak rakyat Iran dengan merujuk kepada perhimpunan yang diadakan di seluruh negara sejak enam hari lalu.

“Majlis Keselamatan Negara Tertinggi tidak akan berundur daripada tuntutan ini, sama ada dalam peperangan mahupun rundingan,” kata beliau. 

Secara berasingan, jurucakap tentera Iran Brigedier Jeneral Mohammad Akraminia berkata “aturan Iran” yang mengawal Selat Hormuz adalah “tidak boleh diubah”, sambil menambah bahawa AS tiada pilihan selain menerima realiti sedia ada atau berdepan kos yang jauh lebih besar berbanding sebelum ini.

Kenyataan itu dibuat ketika rundingan mengenai masa depan pelayaran melalui Selat Hormuz masih menemui jalan buntu.

Iran dan AS menandatangani memorandum persefahaman pada 18 Jun menerusi pengantaraan Pakistan dan Qatar, sekali gus menamatkan permusuhan serta memulakan rundingan ke arah perjanjian yang lebih menyeluruh.

Memorandum itu menggariskan pemulihan secara berperingkat pelayaran komersial melalui Selat Hormuz, namun pelaksanaannya terhenti apabila kedua-dua pihak saling menuduh melanggar syarat perjanjian berkenaan.

-- BERNAMA-ANADOLU