Dunia 09/08/2026 10:33 AM

AS Jangka Iran Pastikan Aliran Minyak Selamat Melalui Selat Hormuz - Vance

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
AS Jangka Iran Pastikan Aliran Minyak Selamat Melalui Selat Hormuz - Vance
Naib Presiden AS JD Vance - Kredit: Reuters

ISTANBUL, 9 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Amerika Syarikat (AS) menjangkakan Iran memulihkan aliran minyak dan gas melalui Selat Hormuz ke paras sebelum konflik serta memastikan laluan selamat bagi kapal komersial, kata Naib Presiden AS JD Vance pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi.

“Jangkaan kami ialah jumlah minyak dan gas yang keluar dari Teluk akan kembali sama seperti sebelum konflik bermula.

“Namun, kami tidak hanya mempercayainya. Kami akan mengesahkannya,” kata Vance kepada Fox News sambil menambah bahawa Iran telah menyampaikan hasrat itu kepada Washington.

Vance berkata Washington turut memantau kenyataan Iran mengenai kemungkinan mengenakan tol terhadap kapal yang melalui laluan perairan strategik itu.

“Pihak Iran telah memberitahu kami bahawa mereka tidak bercadang mengenakan tol di Selat Hormuz,” katanya sambil menambah bahawa AS akan menilai Tehran berdasarkan tindakannya.

Beliau berkata Iran dan negara-negara Teluk, khususnya Oman sedang membincangkan langkah bagi memastikan trafik maritim terus berlangsung dengan selamat.

Menurut Vance, Iran telah menempatkan “sejumlah besar periuk api” pada awal konflik, menjadikan usaha pembersihan periuk api serta pembentukan sistem pelayaran selamat antara isu utama yang sedang ditangani.

“Apa yang sedang kami usahakan sekarang ialah bagaimana untuk mewujudkan sistem trafik supaya kapal dapat melalui kawasan itu dengan selamat. Ini sudah tentu termasuk usaha pembersihan periuk api,” katanya.

Beliau berkata AS turut menjangkakan Iran memberi komitmen untuk tidak melepaskan tembakan ke arah kapal komersial.

“Itu juga termasuk komitmen daripada Iran bahawa mereka tidak akan melepaskan tembakan terhadap kapal komersial,” kata beliau. 

Vance berkata Iran sedang berdepan tekanan besar dan mahu konflik itu berakhir, namun persoalan utama ialah sama ada sistem pemerintahan negara itu mampu memenuhi perkara yang dianggap Washington perlu bagi mencapai satu perjanjian.

Beliau berkata AS sedang berusaha memastikan kepentingannya dalam konflik berkenaan tercapai.

“Kami telah memusnahkan program nuklear mereka, memusnahkan kekuatan ketenteraan konvensional mereka dan mengurangkan secara drastik keupayaan ketenteraan asimetri mereka.

“Sekarang, kami cuba melihat sama ada mereka bersedia melakukan perubahan jangka panjang yang diperlukan untuk mewujudkan hubungan lebih baik dengan Amerika Syarikat. Jika tidak, itu juga tidak mengapa. 

“Kami akan terus mengenakan tekanan yang mampu kami lakukan dan memastikan sebanyak mungkin minyak dan gas terus keluar dari Asia Barat supaya rakyat Amerika dapat menikmati harga petrol dan tenaga yang lebih rendah,” kata beliau. 

-- BERNAMA-ANADOLU