Am 07/08/2026 02:32 PM

Mohamad Sabu Terima Kunjungan Hormat Pengarah Eksekutif EU-ABC

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Mohamad Sabu Terima Kunjungan Hormat Pengarah Eksekutif EU-ABC

PUTRAJAYA, 7 Ogos (Bernama) -- Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menerima kunjungan hormat Pengarah Eksekutif Majlis Perniagaan EU-ASEAN (EU-ABC) Chris Humphrey dan delegasinya di Wisma Tani di sini, semalam. 

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan pertemuan itu memfokuskan kepada empat perkara utama iaitu pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) bagi keterjaminan makanan serta penerapan teknologi pertanian dan kecerdasan buatan (AI).

Perkara lain yang dibangkitkan dalam pertemuan itu adalah pemerkasaan rantaian bekalan tenusu tempatan, serta pengukuhan piawaian kesihatan haiwan dan biosekuriti.

Mohamad menegaskan Kesatuan Eropah (EU) merupakan antara rakan komersial dan teknologi terpenting bagi Malaysia dalam usaha untuk melakukan transformasi sistem agromakanan negara ke arah yang lebih mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi. 

“Langkah ini amat kritikal dalam mendepani cabaran keterjaminan makanan global, perubahan iklim, serta gangguan rantaian bekalan dunia,” menurut kenyataan itu.

KPKM memaklumkan Mohamad turut menzahirkan harapan kepada syarikat EU untuk memberi sokongan berterusan kepada Malaysia dan ASEAN dalam aspek pembangunan kapasiti petani dan penternak tempatan, khususnya pematuhan standard kualiti, langkah Sanitari dan Fitosanitari (SPS), penerokaan pasaran baharu serta kemudahan perdagangan. 

“Selain itu, kedua-dua belah pihak turut menyatakan sokongan dan komitmen dalam menyokong rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) yang sedang berlangsung,” menurut kenyataan itu.

KPKM menyeru agar lebih banyak kerjasama strategik dilaksanakan antara syarikat EU dengan syarikat tempatan terutama berkaitan teknologi dalam sektor pertanian bagi memodenkan rantaian bekalan agromakanan negara, sekali gus menjamin ketersediaan makanan untuk seluruh rakyat Malaysia.

Mohamad turut mengambil kesempatan di sesi ini untuk menjemput delegasi EU- ABC menghadiri Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2026 yang dijadualkan pada 28 Ogos hingga 6 Sept ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor.

-- BERNAMA