Am 07/08/2026 10:02 AM

Bolon, Kit Woo Satukan Dua Dunia Kreatif Di KLFW 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Bolon, Kit Woo Satukan Dua Dunia Kreatif Di  KLFW 2026

Oleh Wartawan Bernama Lifestyle

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) --  Kerjasama antara jenama cermin mata antarabangsa BOLON Eyewear dan pereka fesyen Malaysia Kit Woo di Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026, menyerlahkan bagaimana aksesori seperti cermin mata dapat memainkan peranan lebih besar dalam membentuk identiti sesebuah gaya fesyen.

Berlangsung di Esplanade, Taman KLCC, pertunjukan itu menggabungkan koleksi Ready-to-Wear 2026/2027 oleh Kit Woo dengan koleksi Musim Luruh/Musim Sejuk 2026 BOLON Eyewear, yang membuat kemunculan sulungnya di peringkat global pada acara berkenaan.

Kolaborasi  itu menggabungkan pendekatan reka bentuk kontemporari Kit Woo, siluet luar kebiasaan dan perincian berstruktur dengan pilihan bingkai optik serta cermin mata hitam BOLON yang dipilih khas, sekali gus menghasilkan persembahan yang menawarkan perspektif baharu terhadap gaya peribadi.

Kit Woo, yang dikenali kerana mencabar kelaziman fesyen menerusi bentuk terurai dan pendekatan reka bentuk moden, berkata kerjasama itu membolehkan beliau meneroka peranan cermin mata sebagai bahagian penting dalam sesebuah koleksi, bukan sekadar aksesori.

Maju Johor

“BOLON dan KIT WOO berkongsi keyakinan untuk tampil berbeza. Cermin mata menjadi sebahagian daripada identiti setiap gaya, memberikan dimensi tambahan kepada siluet, penggayaan dan karakter keseluruhan koleksi,” katanya pada pertunjukan fesyen itu yang berlangsung baru-baru ini.

Menurut Kit Woo, kerjasama itu menunjukkan bagaimana fesyen dan cermin mata boleh digabungkan bagi menghasilkan naratif visual yang lebih kukuh, dengan setiap gaya di pentas peragaan membawa identiti yang tersendiri.

Sementara itu, Pengarah Bersekutu APAC & MEA EssilorLuxottica Thomas Blanloeil berkata pemilihan KLFW sebagai lokasi untuk memperkenalkan koleksi terbaharu BOLON mencerminkan dinamisme dan kreativiti yang semakin berkembang dalam komuniti fesyen Malaysia.

“Bagi kami, cermin mata bukan sekadar aksesori. Ia berupaya mengubah penampilan, menzahirkan keperibadian dan menunjukkan kepada dunia siapa diri anda sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata kerjasama dengan Kit Woo turut mencerminkan visi BOLON untuk meneroka hubungan antara reka bentuk, fesyen dan ekspresi diri individu.

Maju Johor

Pertunjukan itu menghimpunkan ahli komuniti KLFW, rakan niaga dan pengedar runcit BOLON Malaysia, pengamal media, selebriti serta personaliti kreatif, termasuk pelakon Scha Alyahya.

Menerusi kemunculannya di KLFW 2026, BOLON bukan sahaja memperkenalkan koleksi terbaharunya, malah mengetengahkan peranan cermin mata yang semakin berkembang sebagai elemen kreatif yang mampu membentuk dan menyerlahkan fesyen kontemporari.

Kerjasama dengan Kit Woo membuktikan bagaimana dua disiplin kreatif yang berbeza, iaitu fesyen dan reka bentuk cermin mata, boleh digabungkan untuk menghasilkan perspektif baharu terhadap gaya dan identiti peribadi.

-- BERNAMA