Am 07/08/2026 09:29 AM

Semporna: Ancaman "Halimunan" Yang Kian Terserlah

Oleh Fadzli Ramli Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Semporna: Ancaman
Gambar hiasan.

(Artikel pertama daripada laporan bersiri dua bahagian ini mendalami isu ancaman “halimunan” yang membelenggu Semporna dari sudut pandang ESSCOM dan pengusaha tempatan.)

 

Sejak sekian lama, Semporna yang terletak di pesisir tenggara Sabah menghadap Laut Sulawesi,  menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia. Namun begitu, di sebalik kepesatan industri pelancongannya, tersembunyi realiti membimbangkan.

Ada sesetengah pelabur asing dilaporkan mengeksploitasi lonjakan ketibaan pelancong dengan menjalankan perniagaan berkaitan pelancongan secara haram dan mengaut hasil yang sepatutnya memasuki poket pengusaha tempatan yang berlesen. Pada masa sama, situasi ini juga menimbulkan isu keselamatan.

Perkara itu disahkan Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Datuk Victor Sanjos, yang memberitahu Bernama dalam satu temu bual; jika tidak diuruskan mengikut undang-undang; peningkatan kemasukan pelancong dan hasil luar biasa sektor itu, berpotensi menjadi “samaran sempurna bagi aktiviti berbahaya dan salah guna kuasa”.

Semporna merupakan sebahagian daripada Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone). Jika sebelum ini pihak berkuasa lebih menumpukan perhatian pada ancaman yang jelas seperti kegiatan lanun rentas sempadan atau pencerobohan bersenjata, kini tumpuan mereka kian beralih kepada cabaran terselindung yang tidak kurang bahayanya – kemasukan “pelabur” asing ke dalam industri pelancongan yang sedang berkembang pesat di daerah itu.

Victor, yang dilantik sebagai Komander ESSCOM pada 2023 dan mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam penguatkuasaan undang-undang, telah diberi kebenaran untuk mengambil tindakan terhadap perniagaan secara haram tersebut oleh Putrajaya yang sebelum itu dimaklumkan tentang “penyusupan secara halus” berkenaan.

 

DEMI KEUNTUNGAN

Tahun lepas (2025), sektor pelancongan Sabah menjana RM8.74 bilion menerusi 3.8 juta ketibaan pelancong, merangkumi 2.29 juta ketibaan domestik dan bakinya antarabangsa. Daripada jumlah itu, Semporna menyumbang 560,077 ketibaan. Untuk tempoh empat bulan pertama tahun ini, daerah ini merekodkan 157,673 kedatangan pelawat.

Mengulas lanjut kepesatan pertumbuhan sektor pelancongan di Semporna, Victor berkata situasi itu membuka peluang kepada pengusaha untuk melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang seperti membawa pelancong dan pemancing merentas sempadan ke perairan asing secara haram.

Maju Johor
Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Datuk Victor Sanjos.

"Apabila mereka ditahan pihak keselamatan negara seberang, kita pula yang terpaksa bersusah payah membawa mereka pulang walaupun mereka sendiri yang melanggar undang-undang sempadan," katanya.

Selain itu, katanya, wujud premis penginapan haram dan rantaian operasi ali baba, iaitu warga asing mengoperasikan perniagaan dengan menggunakan warga tempatan sebagai penama dalam permit atau lesen.

 “Premis tidak berlesen ini biasanya tidak akan mendaftar atau merekod maklumat tetamu, sekali gus melanggar Akta Pendaftaran Tetamu 1965. Tindakan ini bukan sekadar pelanggaran undang-undang atau berkaitan pelarian cukai, tetapi secara langsung ‘membutakan’ mata pasukan keselamatan di kawasan sempadan,” katanya.

Beliau berkata dalam konteks ESSCOM, ketiadaan data pelancong di premis penginapan terlibat mewujudkan “lubang hitam” yang menyukarkan pemantauan menyeluruh pihak keselamatan, sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti penculikan rentas sempadan.

“Kalau pelancong diculik di premis haram, kita tiada petunjuk pergerakan mereka berbanding jika mereka mendaftar di hotel yang sah,” jelas Victor.

Tambahnya, maklumat itu juga penting sebagai rujukan memandangkan ESSZone mencatatkan sifar kes penculikan selepas insiden membabitkan tiga warga Indonesia yang berjaya diselamatkan pada Januari 2020.

 

ANCAMAN LEBIH BESAR MENUNGGU

Namun, menurut Victor, di sebalik isu perniagaan berkonsep ali baba serta operasi secara haram itu, wujud permasalahan lebih besar dan berpotensi mengancam keselamatan negara jika tidak ditangani segera.

 “Bagaikan tanam durian, tumbuhnya kelapa. Inilah yang boleh terjadi (di Semporna) bila pada asalnya suatu perkara tetapi kemudian bertukar menjadi perkara lain yang kita tidak sangka. Nampak asalnya kecil tetapi bertukar kepada ancaman besar,” katanya.

Maju Johor
Tahun lepas (2025), sektor pelancongan Sabah menjana RM8.74 bilion menerusi 3.8 juta ketibaan pelancong, merangkumi 2.29 juta ketibaan domestik dan bakinya antarabangsa.

Jelasnya, modus operandi bermula apabila pengusaha asing menggunakan penduduk tempatan sebagai penama untuk membuka perniagaan di Semporna. Namun, sebaik sahaja empayar haram itu kukuh, pekerja tempatan disingkirkan dan digantikan dengan warga mereka sendiri sehingga membentuk koloni asing.

“Warga tempatan dahulunya menjadi sandaran untuk memenuhi tuntutan undang-undang atau sebagai penggerak perniagaan disingkirkan. Penyingkiran tenaga kerja tempatan ini mencetuskan kegusaran mendalam terhadap pembentukan kawasan petempatan bergerak luar kawalan. Inilah ketakutan saya,” luahnya.

Dari segi ekonomi pula, beliau berpendapat koloni asing tersebut mengakibatkan kebocoran dalam ekosistem perniagaan Sabah memandangkan kesemua hasil yang dikaut dibawa pulang ke negara asal, sementelah transaksi dilakukan secara dalam talian. 

Mengulas lanjut, Victor yang berpengalaman luas dalam menangani jenayah penipuan, berkata koloni warga asing yang beroperasi di luar radar pihak keselamatan itu merupakan tapak yang sangat ideal untuk melahirkan ancaman jenayah alaf baharu, khususnya sindiket penipuan dalam talian.  

"Besok dia boleh jadi pusat scam and I have to tell you, saya jaga scam ini 26 tahun. Jadi saya tahu macam mana bibit itu tumbuh," jelasnya.

Beliau turut membayangkan tindakan tegas bakal diambil terhadap pengusaha premis penginapan, sama ada berdaftar atau tidak, yang gagal mematuhi arahan pihak berwajib termasuk mengabaikan sesi libat urus dengan agensi keselamatan.

"Resort, hotel atau penginapan bersikap sedemikian, saya akan ambil tindakan secara tegas, kerana ini saya anggap itu memperlekeh usaha-usaha kerajaan," tegasnya.

 

PERTAHAN SEMPORNA

Di sebalik ketegasan itu, Victor berkata ESSCOM bukan mahu menyekat pertumbuhan sektor pelancongan di Semporna, sebaliknya berhasrat memastikan perkembangan yang lebih pesat, sambil pada masa sama menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.

"Kita menyokong penuh kehadiran pelancong dan pertumbuhan ekonomi, tetapi syaratnya semua pihak wajib patuh undang-undang. Sesiapa sahaja yang mahu menikmati keindahan maritim Sabah Timur mesti bermain mengikut peraturan, tiada ruang untuk zon selesa, (jadi perniagaan) halimunan lagi," jelasnya.

Bagi menutup terus “lubang hitam” pendaftaran dan pembentukan koloni asing, Victor menggariskan strategi jangka panjang yang meletakkan komuniti tempatan serta pengusaha berlesen sebagai aset pertahanan utama.

Beliau memperkenalkan konsep sinergi dengan  setiap peringkat dalam rantaian industri di Semporna - daripada pemandu pelancong, pengusaha bot hinggalah pemilik resort sah - perlu bertindak sebagai "mata, telinga, dan radar bergerak" pihak berkuasa.

Tegasnya pemain industri perlu diingatkan betapa rapuhnya sektor pelancongan kerana, hanya dengan satu kesilapan, sektor ini berisiko terjejas teruk.  

“Andai kata ada seorang pelancong hilang, dibawa lari ke sempadan… industri pelancongan di Semporna akan tutup. Percayalah cakap saya kerana itulah yang berlaku pada 2013 (susulan pencerobohan Lahad Datu)," tegas Victor.

 

BUDAYA PERNIAGAAN YANG SEMBERONO

Bekas pegawai kanan polis Tan Sri T.C. Goh, yang kini dikenali sebagai tokoh perniagaan di Sabah, turut berkongsi sisi gelap ekonomi Semporna.

Beliau berkata jumlah pelancong yang begitu besar telah menarik budaya perniagaan asing yang tidak bertanggungjawab dan sering mengabaikan undang-undang tempatan.

Maju Johor
Bekas pegawai kanan polis Tan Sri T.C. Goh yang juga ahli dalam Majlis Perniagaan Malaysia-China dan Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sabah.

“Wujud perbezaan ketara antara ahli perniagaan tempatan yang mematuhi undang-undang dengan pengusaha asing ini yang mengamalkan mentaliti ‘utamakan keuntungan, fikirkan akibat kemudian’,” katanya.

Lebih membimbangkan, pemilikan perniagaan haram terbabit sengaja disusun sedemikian rupa bagi memastikan identiti pemiliknya kekal tersembunyi.

Goh yang juga ahli dalam Majlis Perniagaan Malaysia-China dan Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sabah, berkata sindiket asing menggunakan aset fizikal tempatan untuk “memanipulasi rekod kewangan mereka secara besar-besaran di luar negara”.

“Mereka hanya menghantar sejumlah wang minimum ke Semporna bagi menampung kos asas operasi perniagaan. Keuntungan sebenar tidak pernah direkodkan di sini. Jadi, apa yang tinggal untuk Semporna dan negara kita... tiada apa-apa,” ujarnya.

 Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputra Semporna (PUSPABUMI) Syukryn Abdul Salam pula mengetengahkan ironi dalam isu tersebut apabila pengusaha bumiputera yang mahu mematuhi undang-undang terpaksa bergelut dengan birokrasi, sedangkan entiti asing tanpa izin dikesan membolosi pasaran.

“Isu pelesenan menjadi polemik yang amat sukar diatasi oleh pengusaha domestik berikutan penglibatan terlalu banyak agensi dengan lapisan peraturan berbeza-beza. Tetapi usaha dilakukan ESSCOM dan NGO banyak membantu kami dan amat dihargai,” katanya.

Pengusaha Maglami-Lami Tour and Travel Sdn Bhd ini juga berkata komuniti tempatan sememangnya membantah akan lambakan pelabur asing yang beroperasi secara halimunan, tanpa sebarang rekod rasmi dengan pihak berkuasa.

“Kehadiran pengendali asing bawah tanah ini bukan sahaja merosakkan ekosistem pasaran, malah secara langsung meminggirkan hak pengusaha berlesen tempatan seperti kami yang komited terhadap undang-undang,” katanya.

Beliau berkata anak tempatan mampu memacu industri ini secara telus, namun memerlukan sokongan kerajaan untuk memenuhi kriteria undang-undang.

Sinergi ini bukan sahaja membina ekosistem pelancongan yang sah, malah menjadi benteng akar umbi terbaik untuk menyekat kebangkitan sebarang ancaman halimunan.

 

PILIH PENGUSAHA BERLESEN

Sementara itu, Chen Xiuying, 34, seorang ahli biologi marin dari Hainan, China, memilih pengusaha berlesen sepenuhnya yang bekerjasama dengan rakan tempatan bagi perjalanan menyelam dan aktiviti jelajah pulau atau “island hopping” terkininya di Semporna.

“Pengusaha perkhidmatan pelancongan yang mematuhi undang-undang tempatan jelas menawarkan perkhidmatan yang lebih profesional dan bertaraf tinggi. Mereka melabur dalam latihan kakitangan yang sewajarnya, peralatan menyelam diselenggara dengan baik serta pengangkutan yang boleh dipercayai. Bagi kami, semua ini memberikan pengalaman tanpa kerisauan,” katanya.

Maju Johor
Pengusaha berlesen perlu bekerjasama dengan rakan tempatan bagi perjalanan menyelam dan aktiviti jelajah pulau atau “island hopping” terkininya di Semporna.

Tambahnya, dengan menyokong pengusaha tempatan akan memastikan wang yang dibelanjakan pelancong kekal di Semporna, sekali gus menyumbang kepada ekonomi setempat.

“Pelancongan berkualiti tinggi bermula dengan kita sebagai pelancong memilih pengusaha yang menghormati undang-undang tempatan,” kata Chen yang menghabiskan masa sebulan menjelajah Sabah bersama-sama dengan suaminya.

Marcus Vee, 29, seorang pegawai bank dari Singapura, pula berkata dia amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh pemandu pelancongnya di Semporna.

“Mematuhi undang-undang tempatan merupakan cerminan perkhidmatan pelanggan yang baik. Apabila pengusaha menghormati peraturan, ini menunjukkan mereka benar-benar mengambil berat tentang kebajikan tetamu.

“Ketika saya menyertai aktiviti jelajah pulau, saya berasa amat lega apabila mengetahui bot yang kami naiki direkodkan oleh pihak berkuasa maritim tempatan,” katanya.