Am 05/08/2026 04:30 PM

Kementerian Ekonomi, AKPS Bincang Keperluan Perkukuh Pembangunan Sempadan Negara

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kementerian Ekonomi, AKPS Bincang Keperluan Perkukuh Pembangunan Sempadan Negara
Kredit: Fb Kementerian Ekonomi

PUTRAJAYA, 5 Ogos (Bernama) -- Keperluan belanjawan pembangunan bagi memperkukuh pengurusan dan kawalan sempadan negara menjadi fokus perbincangan antara Kementerian Ekonomi dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) hari ini.

Kementerian Ekonomi dalam hantaran di media sosial hari ini memaklumkan perkara itu dibincangkan semasa kunjungan hormat Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ke atas Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir di sini.

Menurut hantaran itu, perbincangan berkenaan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pengurusan dan kawalan sempadan melalui peningkatan infrastruktur, penggunaan teknologi, pembangunan aset strategik serta pengukuhan kapasiti operasi.

“Kementerian Ekonomi mengambil maklum bahawa pengukuhan keupayaan AKPS melalui perancangan pembangunan yang tersusun akan menyokong kelancaran perdagangan, meningkatkan kecekapan pengurusan pintu masuk negara, memperkukuh keselamatan sempadan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih berdaya tahan dan mampan,” menurut hantaran itu.

AKPS mula beroperasi secara rasmi pada 1 Jan 2025 bagi menyelaras kawalan di pintu masuk negara menerusi pengintegrasian fungsi penguatkuasaan sempadan yang sebelum ini dilaksanakan oleh pelbagai agensi.

Agensi itu mengambil alih fungsi dan jawatan daripada enam agensi teras di pintu masuk sempadan dan pusat pemeriksaan negara, iaitu Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia, Kementerian Kesihatan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara serta Jabatan Pengangkutan Jalan.

Sebelum ini, Mohd Shuhaily berkata AKPS memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh integriti dan kecekapan operasi di samping merangka hala tuju strategik serta pelan pembangunan jangka panjang, termasuk memperkasakan kapasiti sumber manusia.

Beliau berkata agensi itu turut mengutamakan pembangunan teknologi sempadan pintar menerusi penggunaan sistem biometrik bersepadu, pengimbasan automatik kargo serta integrasi data masa nyata berasaskan kecerdasan buatan. 

-- BERNAMA