MEXICO CITY, 5 Ogos (Bernama-dpa) -- Volcán de Fuego di Guatemala yang terletak kira-kira 40 kilometer di barat daya ibu negara itu memuntahkan debu, gas serta lava sehingga membentuk kepulan setinggi empat hingga lima kilometer, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Agensi pengurusan bencana negara yang dikenali sebagai CONRED menerusi hantaran di platform media sosial X pada Selasa memaklumkan bahawa amaran merah, iaitu tahap amaran tertinggi telah dikeluarkan bagi tiga wilayah.
Penduduk kampung berhampiran gunung berapi terpaksa dipindahkan dan ditempatkan di pusat perlindungan kecemasan.
CONRED memaklumkan lebih 1,400 orang telah dipindahkan ke tempat selamat, manakala sesi persekolahan turut dibatalkan.
Jurucakap CONRED Valeria Urízar memberitahu stesen radio Libertópolis bahawa kira-kira 29,000 penduduk terjejas akibat letusan itu, termasuk kerana debu.
Abu kini merebak kira-kira 120 kilometer ke arah barat dan barat laut serta berpotensi mengganggu trafik udara di wilayah Chimaltenango dan Suchitepéquez.
Amaran merah tahap tertinggi dikuatkuasakan di kedua-dua wilayah itu serta Escuintla.
CONRED menggesa orang ramai supaya tidak menghampiri gunung berapi berkenaan atau lurah di lereng tenggaranya.
Institut Seismologi dan Vulkanologi dalam hantaran terbaharu di X menegaskan bahawa gunung berapi itu kini berada dalam “fasa paling intensif” dan langkah berjaga-jaga perlu diambil di kawasan dalam lingkungan radius 10 kilometer.
Media melaporkan bahawa pelancong tetap mendaki Gunung Berapi Acatenango berhampiran walaupun pendakian dilarang, bagi menyaksikan letusan itu dan memuat naik rakaman video ke platform media sosial.
Polis kemudian mengumumkan menerusi X bahawa akses ke gunung berapi berkenaan telah ditutup.
Gunung berapi dengan ketinggian hampir 3,800 meter itu merupakan antara gunung berapi paling aktif di Amerika Tengah.
Dua letusan besar berlaku pada tahun lepas, manakala letusan dahsyat pada 2018 mengorbankan kira-kira 200 orang.
-- BERNAMA-dpa