Dunia 04/08/2026 03:17 PM

Kebakaran Hutan Musnahkan 700 Rumah, 65,000 Penduduk Dipindahkan Di Washington

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kebakaran Hutan Musnahkan 700 Rumah, 65,000 Penduduk Dipindahkan Di Washington
-- REUTERS/David Ryder

ISTANBUL, 4 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Lebih 65,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing di negeri Washington, Amerika Syarikat, susulan beberapa kebakaran hutan yang terus memusnahkan kawasan berkenaan, termasuk ratusan bangunan, lapor Anadolu Ajansi.

"Sehingga 65,000 orang terpaksa dipindahkan," menurut Palang Merah Amerika pada Isnin.

Organisasi itu memaklumkan penilaian awal menunjukkan kebakaran setakat ini telah memusnahkan lebih 700 rumah, kebanyakannya di Daerah Spokane.

Syerif Daerah Spokane John Nowels berkata pada sidang media bahawa pihak berkuasa telah menahan seorang lelaki atas tuduhan melakukan pembakaran dengan niat jahat peringkat pertama.

Suspek berusia 37 tahun, Aaron F. Farinacci, ditahan pada petang Isnin waktu tempatan dan kini ditahan dengan ikat jamin sebanyak US$1 juta, katanya.

Suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan Kebakaran Old Trails, antara beberapa kebakaran yang sedang mengancam kawasan itu.

Pasukan Pengurusan Insiden Kebakaran Kompleks Spokane memaklumkan keadaan cuaca yang lebih baik membolehkan anggota bomba mencatat kemajuan dalam usaha mengawal kebakaran.

Data daripada sistem antara agensi InciWeb menunjukkan kebakaran berhampiran daerah Spokane dan Stevens telah memusnahkan 8,026 ekar (3,248 hektar) kawasan sejak Sabtu, namun setakat ini masih belum berjaya dikawal.

Bahagian lain di negeri itu turut berdepan ancaman lebih besar. Kebakaran Sinlahekin telah merebak sehingga meliputi 85,000 ekar (34,398 hektar) sejak tercetus akibat sambaran petir pada 26 Julai.

Lebih 820 anggota kini bertungkus-lumus memadamkan kebakaran itu, yang juga masih belum dapat dikawal.

Sementara itu, Kebakaran Little Giant di barat laut Leavenworth telah memusnahkan 51,298 ekar (20,759 hektar) kawasan di Hutan Negara Okanogan-Wenatchee.

Gabenor Washington Bob Ferguson berkata pihak berkuasa telah berjaya menghubungi hampir semua individu yang meminta bantuan, namun masih berusaha mengesan 14 lagi orang bagi mengesahkan keselamatan mereka.

Ferguson menjelaskan bahawa 14 individu berkenaan "tidak hilang", tetapi pihak berkuasa mahu memastikan mereka berada dalam keadaan selamat, menurut CNN.

Beliau berkata setakat ini tiada kematian disahkan akibat kebakaran berkenaan.

-- BERNAMA-ANADOLU