Am 03/08/2026 07:14 PM

Johor Buru 45 Pingat Emas SUKMA 2026 Di Selangor

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Johor Buru 45 Pingat Emas SUKMA 2026 Di Selangor
Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan, Pembangunan Usahawan & Koperasi Negeri Johor merangkap Ketua Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Johor Mohd Hairi Mad Shah menyerahkan bendera Johor kepada Timbalan Ketua Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Johor, Datuk On Jabbar pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Johor di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) hari ini. SUKMA edisi ke-22 akan berlangsung di Selangor dari 15 hingga 24 Ogos ini.

ISKANDAR PUTERI, 3 Ogos (Bernama) -- Johor meletakkan sasaran tinggi dengan memburu 45 pingat emas selain berada dalam kelompok tiga terbaik pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor dari 15 hingga 24 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Hairi Mad Shah berkata kontinjen Johor mempertaruhkan 689 atlet yang dibantu 150 jurulatih dan 48 pengurus pasukan untuk bertanding dalam 379 acara membabitkan 37 jenis sukan.

Beliau berkata kontinjen yang melibatkan lebih 1,000 atlet dan pegawai itu turut menyasarkan 55 pingat perak dan 43 pingat gangsa.

Pada Para SUKMA yang dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 10 Sept pula, kontinjen Johor akan diwakili 110 atlet, 23 jurulatih dan 28 pegawai melibatkan 10 jenis sukan, dengan meletakkan sasaran pencapaian terbaik.

Sebagai pembakar semangat, Kerajaan Negeri Johor mengekalkan pemberian insentif lumayan sebanyak RM10,000 kepada pemenang pingat emas bagi kategori perseorangan dan beregu merangkumi atlet SUKMA dan Para SUKMA.

Bagi kategori berpasukan tiga hingga tujuh atlet, setiap seorang layak menerima RM9,000 manakala kategori tujuh atlet ke atas menerima RM8,500 seorang.

“Saya yakin atlet baharu dan muka lama daripada SUKMA 2024 mampu menukar pingat perak sebelum ini kepada emas,” katanya pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Johor di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) hari ini.

Majlis berkenaan turut menyaksikan pengumuman rasmi barisan kepimpinan kontinjen yang disempurnakan oleh Pegawai Kewangan Negeri Johor Datuk Mohd Noorazam Osman.

Mohd Hairi dilantik sebagai Ketua Kontinjen (CDM) SUKMA Johor, dibantu tiga Timbalan Ketua Kontinjen (DCDM), iaitu Datuk On Jabbar @ Jaafar, Muhamad Farkhan Mohd Haron dan Nurfariha Abdul Razak.

Kontinjen Para SUKMA pula diterajui Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor (MSN) Hasnul Atmam Othman sebagai CDM dan Faridzwan Mohamad @ Kamaruddin sebagai DCDM.

Pada sidang media berasingan, Mohd Hairi yang mengulas berkaitan isu sukan air seperti kanu dan kayak yang sering tercicir daripada senarai pertandingan tuan rumah SUKMA melahirkan rasa kesal dan menganggap penat lelah atlet disia-siakan begitu sahaja.

Beliau berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperhalusi perkara berkenaan supaya sukan teras yang dipertandingkan pada Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan SEA terus diberi keutamaan dalam setiap edisi temasya.

Beliau berkata MSN Johor tetap komited menjaga kebajikan atlet terbabit dengan merancang penyertaan ke Kejohanan Pecut Dunia Persekutuan Va'a Antarabangsa 2026 di Marina Bay Sands, Singapura pada 17 hingga 31 Ogos ini.

”Insya-Allah kami juga berhasrat untuk menganjurkan piala dunia kanu di Johor, cuma kami akan tetapkan tarikh dan tempat (nanti). Pihak penganjur telah pun berjumpa dengan pihak saya untuk penganjurannya, cuma saya harus meneliti kesesuaian masa dan peruntukan yang akan dibentangkan nanti,” katanya.

-- BERNAMA