Am 03/08/2026 09:34 AM

JTDC Bantu Padanan Pekerjaan, Raih Kerjaya Bergaji Premium Di Johor

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
JTDC Bantu Padanan Pekerjaan, Raih Kerjaya Bergaji Premium Di Johor

JOHOR BAHRU, 3 Ogos (Bernama) -- Pernah menikmati pendapatan mencecah RM7,000 sebulan di Singapura, namun bagi Muhd Rizal Jamil, gaji lumayan itu datang bersama pengorbanan apabila sebahagian besar masanya dihabiskan di tempat kerja dan atas jalan raya.

Setiap hari, dia perlu bangun seawal 5 pagi bagi menempuh perjalanan dari rumah sewanya di Gelang Patah, Iskandar Puteri ke Tuas, Singapura dengan menaiki bas, walaupun waktu bekerja hanya bermula 9 pagi, selain perlu mengharungi perjalanan pergi dan balik yang boleh mencecah hampir dua jam sehala ketika trafik sesak.

Bekerja sebagai boat operation assistant di republik berkenaan dari Mac 2024 hingga Februari 2026, Muhd Rizal, 31, yang berasal dari Pasir Gudang itu mengakui mental dan fizikalnya agak letih dengan rutin harian berkenaan, apatah lagi perlu bekerja enam hari seminggu. 

“Habis kerja 6 petang, tapi sampai rumah kadang-kadang paling awal pernah dapat 8.30 malam. Itu paling awal kalau saya tak bekerja lebih masa, kalau kerja lebih masa kadang 7 malam baru balik dan 10 atau 11 malam baru sampai rumah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Muhd Rizal yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi berkata apabila permit kerjanya tamat, ditambah pula syarikat tempatnya mengurangkan tenaga kerja susulan kemerosotan perniagaan,  dia nekad mengintai peluang kerja di Johor Bahru. 

Dia kemudiannya menghadiri karnival kerjaya anjuran Majlis Pembangunan Bakat Johor (Johor Talent Development Council-JTDC) pada Februari lepas di Politeknik Ibrahim Sultan, sebelum ditawarkan sebagai admin specialist dalam tempoh kurang sebulan daripada menghadiri temu duga. 

Muhd Rizal yang mula bertugas di sebuah syarikat pembuatan aloi pada 1 April lepas dengan gaji premium mencecah RM4,000 sebulan, menyifatkannya sebagai berbaloi kerana menawarkan keseimbangan lebih baik antara kerjaya dan kehidupan peribadi.

Lebih menarik, lokasi tempat kerjanya kini hanya kira-kira 10 minit dari rumah ibu bapanya, selain menikmati cuti dua hari setiap hujung minggu.

“Mungkin betul ada beza gaji RM2,000 hingga RM3,000, tapi bagi saya jika ditolak kos pengangkutan, makan minum dan sewa bilik di Gelang Patah, bagi saya apa yang saya dapat sekarang amat memadai,” katanya. 

Menurutnya, menerusi proses padanan itu, JTDC meneliti latar belakang pendidikan serta pengalaman kerjanya sebelum mencadangkan jawatan yang sepadan, khususnya dalam bidang pengurusan dan sumber manusia.

“Apabila saya mendapat peluang pekerjaan melalui JTDC, saya menyedari bahawa Johor juga menawarkan peluang kerjaya berkualiti dengan pakej gaji kompetitif. Ini membolehkan saya membina kerjaya yang stabil tanpa perlu berjauhan daripada keluarga.

“Oleh itu, saya memilih untuk terus bekerja di Johor kerana ia memberikan keseimbangan antara perkembangan kerjaya, kestabilan kewangan dan kualiti hidup. Saya juga berasa bangga kerana dapat menyumbang tenaga dan kemahiran untuk pembangunan ekonomi negeri sendiri,” katanya.

Sebanyak 8,537 anak muda di Johor berjaya memperoleh pekerjaan dengan pendapatan melebihi RM4,000 sebulan setakat Mei tahun ini menerusi pelbagai program dan inisiatif diselaraskan JTDC.

Pencapaian itu direkodkan hasil penubuhan JTDC yang dilancarkan pada November 2024 sebagai platform utama bagi menyelaras pembangunan bakat, latihan kemahiran dan padanan pekerjaan mengikut keperluan industri semasa serta masa depan.

Bagi memperkukuh agenda pembangunan modal insan negeri, JTDC turut menjalin kerjasama strategik dengan pelabur, syarikat, enam universiti dan 15 institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terpilih di Johor.

Kerjasama itu merupakan antara strategi utama untuk mencapai sasaran menggerakkan 10,000 graduan akademik dan TVET setiap tahun melalui pelbagai inisiatif, termasuk Pejabat JTDC dan Karnival Kerjaya Premium, bagi memenuhi permintaan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor industri.

-- BERNAMA