Dunia 02/08/2026 09:27 PM

Tiga Maut, 21 Cedera: Letupan Di Kafe Pusat Bandar Raya Moscow

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Tiga Maut, 21 Cedera: Letupan Di Kafe Pusat Bandar Raya Moscow
Pekerja memuatkan peralatan ke dalam kenderaan di luar restoran Itali Balzi Rossi susulan letupan bom maut di pusat bandar Moscow, Rusia, pada 2 Ogos 2026. Jawatankuasa Anti-Keganasan Kebangsaan Rusia memaklumkan sehari sebelumnya bahawa bom itu dibawa oleh seorang wanita yang tidak dikenali, yang cuba memasuki restoran berkenaan tetapi dihalang oleh seorang pengawal keselamatan. REUTERS/Anastasia Barashkova.

MOSCOW, 2 Ogos (Bernama-TASS) -- Tiga orang maut manakala 21 lagi cedera dalam satu letupan berhampiran sebuah kafe musim panas di pusat bandar raya Moscow, lapor Agensi Berita Russia (TASS) memetik kenyataan Jawatankuasa Anti-Pengganas Kebangsaan (NAC).

Kementerian Dalam Negeri menyatakan bahawa letupan berlaku kira-kira 8.10 malam (5.10 petang GMT) berhampiran kafe berkenaan berdekatan bangunan No. 1 di Dataran Kudrinskaya.

Menurut NAC, seorang wanita yang tidak dikenali cuba membawa peranti bahan letupan buatan  sendiri (IED) ke kawasan itu, namun dihalang oleh seorang pengawal keselamatan.

NAC mengesahkan tiga orang terkorban manakala 21 lagi mengalami pelbagai tahap kecederaan.

Mangsa yang maut merangkumi wanita yang cuba membawa bahan letupan itu, pengawal keselamatan dan seorang pelanggan kafe.

Menurut pembantu Menteri Kesihatan, Alexey Kuznetsov, semua bantuan yang diperlukan sedang diberikan kepada mangsa yang cedera.

Jawatankuasa Siasatan memaklumkan bahawa pasukan penyiasat dan pakar kriminologi dari jawatankuasa itu kini berada di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

-- BERNAMA-TASS