GEORGE TOWN, 2 Ogos (Bernama) -- Penang FC mempertaruhkan sentuhan dua pemain import dari Uzbekistan bagi mengatasi masalah ketumpulan jentera serangan yang menghantui pasukan itu sepanjang kempen Liga Super musim lepas.
Dua pemain berkenaan ialah pemain tengah Bakhtiyor Kosimov dan penyerang Murodbek Bobojonov yang tiba di negeri berkenaan baru-baru ini.
Ketua jurulatih Penang FC Wan Rohaimi Wan Ismail berkata pihaknya tidak mahu mengulangi kelemahan sama pada musim lepas apabila pasukan kerap mensia-siakan peluang meskipun beraksi dengan baik.
“Kelemahan utama kami musim lepas ialah menyudahkan peluang. Justeru, saya harap kehadiran dua pemain import dari Uzbekistan ini mampu menutup kekurangan itu.
“Pengalaman kedua-dua pemain import masing-masing berusia 30 dan 31 tahun ini, yang pernah beraksi bersama-sama di sebuah kelab Liga Iraq dilihat memberi kelebihan dari segi persefahaman dan memudahkan proses membentuk keserasian bersama skuad Harimau Kumbang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Kerjasama Penajaan dan Rakan Strategik Penang FC Bersama Vitahealth, Aspen Nutrition dan Eastroc di sini hari ini.
Pada majlis itu, Penang FC turut memeterai perjanjian penajaan dengan Vitahealth, Aspen Nutrition dan Eastroc yang ditandatangani Pengurus Besarnya Jeffry Chew Gim Eam bersama wakil syarikat berkenaan, disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen.
Wan Rohaimi turut mengekalkan 14 pemain musim lepas bagi memastikan pasukan itu mempunyai asas yang kukuh untuk digandingkan dengan pemain baharu.
“Setakat ini, kami telah membawa masuk 15 pemain baharu dan masih menunggu ketibaan dua lagi pemain import bagi melengkapkan kuota pasukan. Mereka dijangka tiba dalam masa terdekat, namun saya belum bersedia mendedahkan identiti mereka,” katanya.
Wan Rohaimi ketika mengulas mengenai persiapan pasukan pada pramusim berkata beliau berpuas hati dengan keserasian dan semangat juang tinggi dipamerkan anak buahnya sepanjang tiga perlawanan persahabatan dalam kejohanan Piala Sri Semantan di Kelantan baru-baru ini, walaupun pasukan itu hanya menjalani latihan bersama selama tiga minggu.
“Saya agak terkejut dengan keserasian yang ditunjukkan pemain. Mereka mempamerkan kerjasama yang baik dan semangat juang yang tinggi. Itulah identiti yang kami mahu terapkan, iaitu sikap tidak mudah berputus asa apabila bersaing dalam liga nanti,” katanya.
Beliau berkata tahap persiapan Penang FC kini sekitar 60 peratus dan yakin pasukan itu akan mencapai tahap terbaik menjelang aksi pembukaan Liga Super menentang Brunei DPMM FC di Stadium Batu Kawan pada 23 Ogos ini.
Wan Rohaimi berkata sebagai persiapan terakhir, Penang FC dijadualkan mengharungi tiga lagi aksi persahabatan antarabangsa, masing-masing dua di Songkhla, Thailand pada 7 dan 9 Ogos ini diikuti Surabaya, Indonesia pada 15 Ogos selain berkemungkinan menambah satu lagi perlawanan persahabatan domestik sebelum musim baharu bermula.
Sementara itu, Gooi yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Penang FC meletakkan sasaran kepada skuad Harimau Kumbang untuk menamatkan saingan Liga Super musim ini dalam kelompok enam pasukan terbaik.
Beliau berkata sasaran itu dibuat susulan peningkatan prestasi pasukan musim lepas apabila menamatkan kempen di tangga kelapan berbanding tangga ke-10 pada musim sebelumnya, selain berjaya mara ke pentas akhir Piala Cabaran.
“Kami mahu meneruskan momentum itu dan memberikan saingan kepada pasukan lain walaupun perlu beraksi di Stadium Negeri, Batu Kawan susulan kerja-kerja menaik taraf Stadium Bandaraya.
“Pihak pengurusan juga menaruh keyakinan penuh terhadap Wan Rohaimi walaupun kami sedar ada segelintir penyokong mempertikaikan kedudukannya sebagai ketua jurulatih. Kami akan terus memberikan sokongan dan berharap beliau dapat membalas kepercayaan ini dengan prestasi yang lebih baik demi pasukan serta penyokong skuad Harimau Kumbang,” katanya.
-- BERNAMA