KUALA PILAH, 2 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan akan terus mendukung dan memuliakan institusi diraja serta menjunjung adat istiadat negeri sebagai asas penting dalam pentadbiran, kata Menteri Besar Datuk Ismail Lasim.
Beliau berkata perkara itu merupakan tanggungjawab setiap rakyat Negeri Sembilan selain menjadi antara usaha kerajaan untuk memastikan keharmonian serta hubungan baik antara institusi diraja dan pentadbiran negeri terus dipelihara.
“Sebagai rakyat Negeri Sembilan, memang satu kewajipan. Pertama sekali memahami soal adat istiadat Negeri Sembilan dan keduanya kita memuliakan, mendukung institusi diraja yang ada di Negeri Sembilan.
“… dan tinggal lagi, kita cuba cari jalan yang paling sesuai supaya mengurangkan konflik dan sebagainya. Ini sebahagian daripada tugasan kita,” katanya pada sidang media selepas selesai mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di sini hari ini.
Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh berkata komitmen berkenaan selari dengan prinsip pentadbiran kerajaan negeri yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat serta kestabilan negeri.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri memberi jaminan akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi memastikan kepentingan dan kesejahteraan rakyat negeri itu terus diberi keutamaan.
Beliau berkata tiada kejanggalan untuk meneruskan kerjasama berkenaan memandangkan Barisan Nasional (BN) turut menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Berhubung perancangan serta dasar yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini, Ismail berpandangan ia wajar diteruskan dan ditambah baik demi manfaat rakyat.
“Dasar ini saya rasa yang baik, tak perlu kita tamatkan, kita teruskan, asalkan ia berfokus kepada kepentingan rakyat, saya rasa tiada isu untuk kita teruskan,” katanya.
Terdahulu, Ismail mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar di hadapan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti di sini selepas mendapat perkenan baginda menerajui pentadbiran kerajaan negeri yang baharu.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Seri Ramlan Harun semalam mengumumkan Barisan Nasional (BN) memperoleh 18 kerusi pada Pilihan Raya (PRN) Negeri Negeri Sembilan ke-16, Pakatan Harapan (PH) memenangi 11 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi.
Kerajaan Negeri Sembilan dibentuk menerusi kerjasama BN dan PN.
-- BERNAMA