Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
GLASGOW, 2 Ogos (Bernama) -- Siapa sangka sebuah buku cerita menjadi bukti awal keazaman Amir Daniel Abdul Majeed, jauh sebelum atlet itu mencipta sejarah sebagai pemenang pingat emas judo pertama Malaysia di Sukan Komanwel.
Ibunya Yeoh Suatkhim berkata semasa kecil, Amir Daniel sanggup menghentikan tabiat menghisap ibu jari selepas wanita itu berjanji untuk membelikan buku cerita yang diingininya sekiranya berjaya berbuat demikian.
“Dia memang mempunyai keazaman yang sangat kuat. Kalau mahu melakukan sesuatu, dia memang boleh lakukannya. Saya masih ingat ketika berusia empat tahun, dia suka menghisap ibu jari dan saya sudah mencuba pelbagai cara untuk menghentikannya.
“Apabila dia mahu membeli sebuah buku cerita, saya beritahu boleh jika berhenti menghisap ibu jari dan esoknya dia betul-betul terus berhenti. Bukan semua kanak-kanak boleh buat begitu,” katanya kepada Bernama.
Yeoh berkata sifat tidak mudah berputus asa dan bersungguh-sungguh mengejar sesuatu yang diingini terus menjadi sebahagian daripada keperibadian Amir Daniel sehingga dewasa.
Amir Daniel mencipta sejarah pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 di sini apabila merangkul pingat emas kategori bawah 81 kilogram (kg) lelaki selepas menewaskan wakil Afrika Selatan Timothy Meuwsen menerusi kemenangan waza-ari hasil teknik kata-guruma pada final di Scottish Event Campus semalam.
Kejayaan itu menyaksikan atlet kelahiran Pulau Pinang berusia 21 tahun itu menghadiahkan pingat emas kelapan kepada negara selain menjadi atlet judo pertama Malaysia meraih emas di pentas Sukan Komanwel.
Pada edisi Birmingham 2022, Amir Daniel meraih pingat gangsa dalam kategori bawah 73 kg lelaki.
Kejayaan itu menjadi kemuncak perjalanan Amir Daniel dalam sukan itu selepas diperkenalkan kepada judo pada usia lima tahun di bawah bimbingan jurulatih kebangsaan Md Nashriq Md Nassir sehingga kini.
Yeoh yang hadir menyaksikan sendiri kejayaan bersejarah anaknya berkata Md Nashriq bukan sahaja bertanggungjawab mengasah kemampuan Amir Daniel di gelanggang, malah menjadi individu penting yang dipercayai keluarga untuk membentuk disiplin, pendidikan dan kehidupan anaknya.
Wanita itu berkata setiap kali Amir Daniel berhadapan peperiksaan penting, beliau akan berbincang dengan Md Nashriq yang kemudiannya membuat “perjanjian” dengan anaknya supaya tidak mengabaikan pelajaran.
“Apabila dia sudah berjanji dengan jurulatih, dia tidak pernah memungkiri janji itu. Saya benar-benar berterima kasih kepada jurulatihnya. Kalau bukan kerana beliau, Amir mungkin tidak berada di sini,” katanya.
Sementara itu, Yeoh berkata beliau percaya kanak-kanak perlu didedahkan kepada aktiviti sukan dan pembelajaran sejak kecil bagi mengisi masa dengan perkara bermanfaat serta menimba pengalaman baharu.
Pendekatan itu turut diterapkan kepada anak sulungnya, Nur Yasmeen sebelum Amir Daniel yang juga anak bongsu daripada dua beradik memilih untuk serius dalam judo.
Yeoh berharap kejayaan bersejarah di Glasgow menjadi batu loncatan buat anaknya merealisasikan impian lebih besar termasuk beraksi di pentas Sukan Olimpik.
“Kami sentiasa berharap dia dapat mencipta sejarah untuk Malaysia. Dia mahu ke Olimpik. Mudah-mudahan suatu hari nanti dia akan sampai ke tahap itu tetapi dalam masa sama tidak melupakan pelajaran dan terus membantu rakan dalam judo,” katanya.
-- BERNAMA