Am 02/08/2026 02:11 PM

KUSKOP Laksana Libat Urus Kumpul Cadangan Belanjawan 2027 - Sim

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KUSKOP Laksana Libat Urus Kumpul Cadangan Belanjawan 2027 - Sim
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim ditemui pemberita pada program Jualan MADANI Kuskop@Padang Lalang di Gelanggang Bola Keranjang, Taman Makok, Bukit Mertajam hari ini.

BUKIT MERTAJAM, 2 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah memulakan sesi perbincangan dan konsultasi dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi mengumpulkan cadangan yang akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dalam penyediaan Belanjawan 2027.

Menteri berkenaan Steven Sim berkata libat urus itu melibatkan syarikat, usahawan dan persatuan mewakili peniaga kecil serta koperasi di seluruh negara dengan dijangka berlangsung selama satu hingga dua bulan mengikut kitaran penyediaan belanjawan.

"Memang kita (KUSKOP) sering mengadakan dialog, perbincangan dan konsultasi dengan pihak berkepentingan tidak kiralah daripada syarikat atau persatuan yang mewakili peniaga kecil, usahawan dan koperasi supaya kita boleh masukkan sebagai input kepada Kementerian Kewangan untuk Belanjawan 2027 nanti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Jualan MADANI KUSKOP (JMK) 2026 di Gelanggang Bola Keranjang Taman Makok, di sini, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Lalang Daniel Gooi Zi Sen dan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.

Sim berkata cadangan dikemukakan akan berpandukan kerangka dan pendekatan ABCD, iaitu A – Anjakan Produktiviti, B – Birokrasi Dipermudahkan, C – Capaian Modal dan D – Daya Akses Pasaran dengan menumpukan kepada usaha meningkatkan daya saing sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta koperasi.

Beliau berkata kerangka itu memberi penekanan kepada penyediaan dana yang lebih besar untuk PMKS dan koperasi, pengurangan kos menjalankan perniagaan serta meningkatkan kecekapan penyampaian kerajaan dan produktiviti industri.

"A iaitu apa dasar yang boleh meningkatkan produktiviti, bantu peniaga meningkatkan produktiviti, seterusnya B iaitu macam mana hendak mengurangkan kerenah birokrasi, mengurangkan kos dari segi yuran, cukai dan sebagainya serta C bagaimana menyediakan sumber dana pembiayaan sebagai suntikan modal kepada sektor PMKS dan koperasi.

"D pula bagaimana kita bantu perniagaan mendapat bahagian atau penyertaan lebih besar dalam pasaran domestik dan pasaran antarabangsa," katanya menambah meskipun libat urus mengambil masa antara satu hingga dua bulan, perbincangan dengan pihak berkepentingan sebenarnya telah dilaksanakan berterusan sebelum kitaran penyediaan Belanjawan 2027 bermula.

Sementara itu, Sim berkata program JMK itu adalah siri keenam penganjuran di negeri ini yang bertujuan membantu penduduk mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih murah, menyediakan platform kepada koperasi dan usahawan memasarkan produk mereka serta membawa perkhidmatan kerajaan lebih dekat kepada rakyat.

Beliau berkata kira-kira 80 jenis barangan dijual pada diskaun antara 20 hingga 30 peratus dan program itu turut menghimpunkan 13 agensi kerajaan mewakili kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi menawarkan pelbagai perkhidmatan secara terus kepada masyarakat.

-- BERNAMA