KOTA KINABALU, 2 Ogos (Bernama) -- Atlet lontar peluru Sabah Earl Isaac Mitzler Fredolin meletakkan sasaran pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 di Selangor, berlangsung 15 hingga 24 Ogos ini.
Atlet berusia 18 tahun itu turut menyasarkan untuk memperbaharu rekod peribadi miliknya 15.32 meter bagi acara berkenaan.
“Setakat ini saya rasa amat puas hati terhadap peningkatan prestasi hasil daripada keberkesanan pelan serta program latihan komprehensif yang dirancang jurulatih Suhaimi Kinsoi," katanya ketika ditemui Bernama.
Mengenai persediaan SUKMA, Olahragawan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2022 itu berkata fokus utama ialah kepada peningkatan kekuatan fizikal dan pembaikan teknik lontaran.
Beliau berkata adaptasi terhadap berat peluru kategori terbuka menjadi cabaran utama kerana perbezaan spesifikasi dengan peringkat sekolah.
"Bagi mengatasi cabaran ini, saya menjalani latihan harian antara empat hingga enam jam selain menitikberatkan aspek pemakanan dan rehat yang cukup," katanya yang pernah mengalami kecederaan koyakan otot (groin tear)
Beliau berkata menjadi keutamaan untuknya menjaga fleksibiliti tubuh badan yang memberi pengaruh besar terhadap ketepatan teknik lontaran.
Mengimbas pencapaian di Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) di Johor pada September tahun lepas, beliau menyifatkan ia sebagai antara detik paling berharga dalam kerjaya sukannya.
“Saya berjaya mencatatkan rekod peribadi baharu 15.32 meter dengan menggunakan peluru seberat 7.26 kilogram. Tentunya ini menjadi antara penanda aras penting untuk saya terus melangkah maju,” katanya.
Beliau turut mempertahankan pingat emas untuk kali empat berturut-turut pada Kejohanan Olahraga MSSM 2025 di Perlis pada Ogos tahun lepas.
Menurutnya, kejayaan berkenaan hasil dorongan berterusan jurulatihnya yang tidak pernah jemu memberikan bimbingan walaupun secara jarak jauh.
Mengulas peranan sebagai atlet pelajar, Earl Isaac mengakui rutin harian mengimbangi pelajaran dan latihan sangat mencabar namun menganggapnya sebagai kebiasaan.
Mengenai sasaran jangka panjang, Earl Isaac menyimpan impian besar untuk mewakili negara ke pentas Sukan SEA yang diidamkannya sejak berusia 12 tahun.
-- BERNAMA