Politik 01/08/2026 10:03 PM

BN-PN Peroleh Majoriti Dua Pertiga Bentuk Kerajaan Baharu NS - Ahmad Zahid

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
BN-PN Peroleh Majoriti Dua Pertiga Bentuk Kerajaan Baharu NS - Ahmad Zahid

SEREMBAN, 1 Ogos (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan membentuk Kerajaan Negeri Sembilan selepas gabungan itu memperoleh majoriti dua pertiga berdasarkan keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini, kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata secara tidak rasmi, BN memenangi 18 kerusi manakala PN memperoleh tujuh kerusi sekali gus memberikan kedua-dua gabungan itu majoriti untuk menerajui pentadbiran negeri.

“Kami akan meneruskan perbincangan susulan antara kedua-dua gabungan ini berkaitan pembentukan kerajaan negeri yang baharu berdasarkan keputusan yang dimaklumkan,” katanya pada sidang media di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini.

Ahmad Zahid berkata kerajaan negeri yang bakal dibentuk adalah berteraskan persefahaman antara BN dan PN serta berpaksikan mandat yang diberikan rakyat.

Beliau berkata mandat itu hadir bersama dengan tanggungjawab besar untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan berwibawa selain berusaha meningkatkan kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri.

“Kami menerima keputusan ini dengan penuh rendah diri, tawaduk dan rasa tanggungjawab. Kepercayaan rakyat bukanlah alasan untuk kami leka atau sombong. 

“Tugas kami bermula pada malam ini. Setiap aku janji dalam manifesto, insya-Allah akan kami lunaskan demi kepentingan rakyat dan negeri keseluruhannya,” kata beliau.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hassan, Presiden Wawasan Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan.

Ketika ditanya mengenai urusan menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Ahmad Zahid berkata ia akan dilakukan secepat mungkin.

Sebanyak 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan pada PRN kali ini, melibatkan 103 calon.

Seramai 859,760 pemilih berdaftar termasuk 7,391 pengundi pos layak mengundi hari ini dengan peratusan keluar mengundi yang direkodkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya setakat 4 petang ialah 65.38 peratus atau 562,133 pengundi.

Pada edisi PRN Negeri Sembilan ke-15, PH memenangi 17 kerusi DUN diikuti BN (14) dan PN (lima).

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA