ARAU, 1 Ogos (Bernama) -- Jabatan Penerangan (JAPEN) Perlis memperhebat lagi Kempen Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG), dalam usaha membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat di negeri itu, sekali gus menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026.
Pengarah Penerangan Perlis Aidatul Shima Che Hassan berkata antara pendekatan diambil bagi memperhebat kempen itu, adalah dengan pihaknya menggerakkan 45 Komuniti MADANI di seluruh negeri, untuk terlibat sama secara aktif melaksanakan pelbagai program kenegaraan.
Selain itu, beliau berkata pihaknya juga mengambil inisiatif memasang Jalur Gemilang di seluruh Bangunan Tun Haji Abdul Razak di Kangar, serta menggunakan platform radio PERLISfm serta media sosial JAPEN negeri itu, bagi menguar-uarkan pelaksanaan kempen berkenaan.
“Saya menyeru semua masyarakat di Perlis, kalau kita sayang negara kita, pastikan pasang bendera ini dengan tatacara betul, kalau bendera itu lusuh gantikan dengan yang baharu.
“Marilah kita pasang Jalur Gemilang ini sama ada di rumah, setiap bangunan, premis jabatan kerajaan dan swasta dan juga pada kenderaan kita,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) X JAPEN Arena Penggerak Komuniti (JAGO) 2026 peringkat negeri di Kampung Pauh Setia di sini hari ini.
Aidatul Shima berkata Perlis merupakan negeri pertama yang melaksanakan KMJG itu bagi tahun ini.
Terdahulu, dalam ucapannya menyempurnakan KMJG itu, beliau berkata kempen itu kini diperhebat lagi bagi memastikan penyertaan komuniti lebih holistik.
“Kempen itu merupakan platform bermakna untuk rakyat bersama-sama menterjemahkan rasa bangga terhadap keharmonian tanah air tercinta,” katanya.
Dalam pada itu, Aidatul Shima berkata jabatan dan agensi yang menyertai konvoi KMJG X JAGO 2026 itu terdiri daripada Pejabat Pembangunan Persekutuan Perlis, Jabatan Penyiaran Perlis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Perlis, Pos Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Perlis dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia Perlis.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 (MPBKKJG 2026), bersempena dengan sambutan HKHM 2026 yang bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, pada 19 Julai di Perak.
-- BERNAMA