Dunia 01/08/2026 04:34 PM

Hubungan Diraja Dan Kepimpinan Tunjang Penganjuran Bersejarah GP Bahrain Di Sepang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Hubungan Diraja Dan Kepimpinan Tunjang Penganjuran Bersejarah GP Bahrain Di Sepang
KUALA LUMPUR, 27 Julai -- (GAMBAR FAIL) Malaysia akan menjadi tuan rumah Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Okt, sekali gus mencatat sejarah sebagai perlumbaan Formula Satu (F1) pertama yang dipindahkan ke negara lain selepas dibatalkan. F1 dalam satu kenyataan memaklumkan perlumbaan itu, yang tertakluk kepada persetujuan akhir serta kelulusan rasmi termasuk daripada Majlis Sukan Permotoran Dunia, akan dikenali sebagai Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix, Malaysia. Menurut kenyataan itu, persetujuan yang dicapai antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain membolehkan perlumbaan berkenaan diteruskan selepas dibatalkan pada awal musim ini berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat. --fotoBERNAMA (2026) HAKCIPTA TERPELIHARA

Oleh Noor Bakthtiar Ahmad

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah Formula Satu (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix susulan gangguan terhadap kalendar Kejuaraan Formula Satu 2026 mencipta detik bersejarah yang didorong komitmen bersama terhadap kecemerlangan sukan permotoran serta hubungan erat antara kedua-dua negara.

Perlumbaan yang dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Okt itu merupakan kali pertama Grand Prix Bahrain dianjurkan di luar kerajaan berkenaan sejak diperkenalkan pada 2004, namun tetap mengekalkan gelaran rasminya.

Pengumuman itu disambut baik oleh pelumba dan peminat F1, malah beberapa pasukan turut berkongsi mesej serta hantaran imbas kembali perlumbaan mereka di SIC menerusi media sosial susulan pengesahan penganjuran berkenaan.

Duta Besar Bahrain ke Malaysia, Dr Waleed Khalifa Al Manea berkata pengaturan itu mencerminkan hubungan kukuh antara institusi diraja dan kepimpinan politik kedua-dua negara.

"Aturan ini mencerminkan hubungan erat antara Raja Hamad bin Isa Al Khalifa dan Sultan Ibrahim, Yang di-Pertuan Agong, yang diperkukuh lagi menerusi lawatan negara Seri Paduka Baginda ke Bahrain pada 2025, selain komunikasi dan penyelarasan rapat antara Putera Salman bin Hamad Al Khalifa, Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Hubungan dan penyelarasan di peringkat tertinggi ini membantu melancarkan urusan penganjuran acara berkenaan," katanya dalam temu bual bertulis dengan Bernama.

Al Manea menyifatkan kerjasama itu sebagai sesuatu yang unik dan mempunyai makna yang lebih luas terhadap hubungan dua hala.

"Ia mencerminkan tahap kepercayaan dan kerjasama yang tinggi antara kedua-dua negara serta menjadi satu lagi langkah penting dalam memperkukuh hubungan dua hala.

"Ia unik kerana menggabungkan kepimpinan dan pengalaman Bahrain dalam sukan permotoran dengan pengalaman luas serta reputasi kukuh Malaysia dalam menganjurkan perlumbaan Formula Satu dan acara sukan bertaraf dunia yang lain," katanya.

Beliau berkata perlumbaan itu dijangka membawa limpahan manfaat melangkaui sukan permotoran menerusi peluang kerjasama dalam sektor pelancongan, penerbangan, pengangkutan, pelaburan, hospitaliti dan media.

"Perlumbaan itu akan dianjurkan mengikut piawaian antarabangsa tertinggi, manakala pelancaran penerbangan terus Gulf Air antara Bahrain dan Kuala Lumpur menjelang acara berkenaan akan terus memperkukuh perjalanan serta hubungan dua hala," katanya.

Perlumbaan itu bakal menyaksikan Formula Satu kembali ke SIC buat kali pertama sejak Grand Prix Malaysia kali terakhir dianjurkan di litar berkenaan pada 2017, apabila pemandu Red Bull Racing Max Verstappen muncul juara.

SIC menganjurkan Grand Prix Malaysia dari 1999 hingga 2017, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara venue F1 paling terkenal di Asia.

Walaupun berlangsung ribuan kilometer dari Bahrain, perlumbaan itu masih mengekalkan kaitan dengan lokasi asalnya memandangkan SIC dan Litar Antarabangsa Bahrain kedua-duanya direka oleh arkitek litar terkenal dari Jerman, Hermann Tilke.

-- BERNAMA