Am 01/08/2026 04:28 PM

Mangsa Cedera Parah Kemalangan Di Gua Musang Dipindahkan Ke HSIP

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Mangsa Cedera Parah Kemalangan Di Gua Musang Dipindahkan Ke HSIP

GUA MUSANG, 1 Ogos (Bernama) -- Mangsa yang cedera parah dalam kemalangan meragut tiga nyawa di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Gua Sejuk, semalam dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk rawatan lanjut.

Bapa saudara Nur Balqis Abli, 21, Mohamad Emerul Hakim Abdullah berkata berdasarkan laporan perubatan, mangsa mengalami beberapa kecederaan termasuk pendarahan di bahagian kepala, hati dan paru-paru.

Mohamad Emerul Hakim berkata anak sulung daripada empat beradik itu kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan ditidurkan.

“Setelah beberapa kali imbasan CT dijalankan, doktor mendapati keadaannya semakin positif dan menunjukkan perkembangan yang baik selain kebocoran di paru-paru juga semakin mengecil. 

“Doktor memaklumkan kesan lebam di kepala mungkin disebabkan oleh kecederaan dan bukan berlaku pendarahan pada dalaman. Begitu juga kesan lebam yang dikesan pada bahagian hati,” katanya.

Dalam kemalangan kira-kira 7 pagi semalam, ibu dan adik lelaki Nur Balqis antara tiga yang maut selepas Perodua Myvi dinaiki mereka dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler.

Seorang lagi yang maut ialah pemandu Myvi Muhamad Syazwan Hakimi Ibrahim, 21, manakala pemandu treler tidak cedera.

Terdahulu, jenazah ibu serta adik Nur Balqis, Maria Yusoff, 42, dan Muhammad Ziekyr Iman Abli, 11, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melor Lama, Kota Bharu pada 10.30 pagi tadi.

Jenazah Muhamad Syazwan Hakimi pula dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tegayong, Melor, Kota Bharu pada 8.30 pagi.

-- BERNAMA