Am 01/08/2026 11:50 AM

SMART Diharap Dapat Kekalkan Status Heavy USAR Antarabangsa - TPM Zahid

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
SMART Diharap Dapat Kekalkan Status Heavy USAR Antarabangsa - TPM Zahid

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) diharap dapat terus melakar kejayaan dengan memperoleh pensijilan semula sebagai Pasukan Heavy Urban Search and Rescue (Heavy USAR).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pengiktirafan melalui  Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) External Reclassification (IER) itu akan dapat terus memperkukuh pengiktirafan antarabangsa, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Beliau berkata kecekapan, disiplin dan semangat berpasukan yang ditunjukkan bukan sahaja meningkatkan keyakinan rakyat, malah menjadi kebanggaan negara dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan dan bencana di arena antarabangsa.

"Sebagai Pengerusi Majlis Pengurusan Bencana Negara, saya amat menghargai peranan SMART sebagai antara tonggak utama dalam memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi sebarang bencana," katanya menerusi hantaran di laman Facebook sempena sambutan Ulang Tahun SMART ke-31, hari ini.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada seluruh warga SMART atas komitmen serta dedikasi yang tidak pernah luntur dalam melaksanakan amanah sama ada di dalam mahupun di luar negara.

Katanya SMART terus membuktikan keupayaan Malaysia sebagai sebuah pasukan mencari dan menyelamat bertaraf dunia dan merupakan tonggak utama dalam memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi sebarang bencana.

“Dalam kejadian bencana, setiap detik mencari dan menyelamat dihitung demi menyelamatkan nyawa. Di sebalik setiap misi yang berjaya, terserlah keberanian, kesungguhan dan pengorbanan anggota yang sentiasa meletakkan keselamatan mangsa mengatasi kepentingan diri. 

“Itulah nilai yang menjadi teras kekuatan SMART sejak penubuhannya," katanya.

Menggunakan kod nama MAS-1, SMART merupakan pasukan penyelamat kedua di ASEAN, kelapan di Asia Pasifik dan ke-46 di dunia mendapat pengiktirafan sebagai INSARAG Heavy Urban Search and Rescue Team pada 2016, sekali gus meletakkannya sebaris dengan pasukan penyelamat elit global.

Ditubuhkan pada 1 Ogos 1995, SMART lahir susulan tragedi runtuhan Kondominium Highland Towers pada Disember 1993 yang membuka mata kerajaan tentang keperluan mendesak untuk memiliki pasukan penyelamat terlatih dan khusus bagi menangani bencana besar.

-- BERNAMA