KEPALA BATAS, 1 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang menawarkan insentif hingga RM10,000 kepada setiap pemenang pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 Selangor, sekiranya kontinjen negeri itu berjaya mencapai sasaran 60 pingat emas.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata insentif itu merupakan penambahbaikan yang dilaksanakan kerajaan negeri sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan atlet, selain menjadi pemangkin semangat kepada seluruh kontinjen untuk memberikan persembahan terbaik di Selangor.
"Kadar insentif kemenangan pingat emas ditetapkan mengikut pencapaian keseluruhan kontinjen, iaitu RM4,000 bagi setiap pemenang sekiranya Pulau Pinang memperoleh antara satu hingga 39 pingat emas, RM6,000 bagi pencapaian 40 hingga 49 pingat emas dan RM8,000 bagi 50 hingga 59 pingat emas.
"Insentif akan meningkat kepada RM10,000 bagi setiap pemenang pingat emas sekiranya sasaran 60 pingat emas atau lebih berjaya dicapai," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Pulau Pinang ke SUKMA ke-22, di sini hari ini
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Zulkifli Long.
Chow berkata sasaran 60 pingat emas itu sememangnya mencabar berbanding pencapaian 41 pingat emas pada edisi lepas, namun ia ditetapkan sebagai pembakar semangat kepada kontinjen Pulau Pinang untuk mencapai prestasi terbaik.
Beliau berkata kontijen Pulau Pinang akan menyertai kesemua 37 acara dipertandingkan dengan mempertaruhkan sebanyak 886 orang merangkumi atlet dan pegawai yang diketuai Ketua KOntinjen Joseph Ng Soon Siang iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Air Itam.
"Kita letakkan sasaran itu (60 pingat emas) untuk membakar semangat, capai atau tidak kita akan tunggu, namun yang penting kontinjen Pulau Pinang memberikan yang terbaik," katanya.
Sementara itu, Gooi berkata kerajaan negeri memperkenalkan skim insentif baharu yang lebih menarik berbanding temasya SUKMA yang lepas bagi menghargai pencapaian atlet.
Katanya, sebelum ini pemenang pingat emas SUKMA kontinjen Pulau Pinang menerima ganjaran RM4,000 menerusi skim anugerah kecemerlangan sukan, kali ini ganjaran akan diberikan mengikut sistem berperingkat berdasarkan jumlah keseluruhan pingat emas yang berjaya diraih kontinjen negeri.
"Ini bagi menggalakkan semua atlet dalam setiap acara di SUKMA Selangor berganding bahu menyumbang kepada pencapaian keseluruhan kontinjen," katanya.
Mengulas ketiadaan perkampungan atlet SUKMA kali ini, Gooi berkata semua urusan penginapan dan logistik telah dirancang lebih awal dengan mereka ditempatkan berhampiran venue pertandingan bagi memastikan kelancaran acara.
Katanya, kerajaan negeri turut menambah elaun penginapan dan makanan serta minuman bagi membantu kebajikan atlet sepanjang temasya itu berlangsung.
"Dari segi persiapan semua sudah siap sedia dan berjalan lancar termasuk isu penginapan yang telah diuruskan dengan sewajarnya," katanya.
SUKMA Selangor 2026 berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan.
Pada edisi ke-21 di Sarawak, Pulau Pinang menduduki tempat keempat keseluruhan dengan 40 pingat emas, 40 perak dan 50 gangsa.
-- BERNAMA