Am 01/08/2026 11:31 AM

Hayati Kemerdekaan, Lawan Kemiskinan Dan Perpecahan - Hajiji

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Hayati Kemerdekaan, Lawan Kemiskinan Dan Perpecahan - Hajiji

KOTA KINABALU, 1 Ogos (Bernama) -- Semangat patriotisme perlu diterjemahkan melalui usaha membebaskan rakyat daripada belenggu kemiskinan dan perpecahan, bukan sekadar memperingati kebebasan negara daripada penjajahan, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata kemerdekaan ialah anugerah yang perlu dihargai dan dipertahankan oleh seluruh rakyat melalui semangat kebersamaan, perpaduan serta iltizam untuk membangunkan negeri.

“Marilah kita bersama-sama menghayati erti kemerdekaan yang sebenar. Kemerdekaan bukan hanya sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi juga bebas daripada belenggu kemiskinan dan perpecahan.

“Kemerdekaan ialah anugerah yang perlu kita hargai dan pertahankan,” katanya pada majlis pelancaran Bulan Kebangsaan Sabah dan Kempen Kibar Bendera di Menara Kinabalu, di sini hari ini.

Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun.

Hajiji berkata pelancaran Bulan Kebangsaan Sabah dan Kempen Kibar Bendera bukan sekadar acara, sebaliknya perlu diraikan dengan semangat patriotisme yang membara.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru seluruh rakyat supaya mengibarkan Jalur Gemilang di setiap sudut negeri sebagai lambang kecintaan kepada negara serta komitmen untuk terus memperkukuh perpaduan.

“Semoga seluruh rakyat akan terus bersatu padu, bekerjasama, dan saling membantu antara satu sama lain, demi masa depan Sabah yang lebih cemerlang.

“Marilah kita menjadikan sambutan pada tahun ini sebagai titik tolak untuk membaharui iltizam dalam membina sebuah Sabah yang lebih maju dan sejahtera,” katanya.

Hajiji berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuh agenda pembangunan menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 sebagai kesinambungan usaha membina negeri yang lebih maju, berdaya saing dan sejahtera.

Beliau berkata hala tuju itu memberikan penekanan kepada pembangunan ekonomi mampan, pemerkasaan modal insan, peningkatan produktiviti, pengukuhan daya saing, penerapan inovasi dan teknologi serta pembangunan inklusif.

Kerajaan negeri juga, katanya, akan terus memperkukuh pelbagai inisiatif yang menyentuh kehidupan rakyat termasuk pendidikan, kebajikan, perumahan, kesihatan, pembangunan luar bandar, pemerkasaan wanita dan belia serta penyediaan kemudahan asas yang lebih berkualiti.

-- BERNAMA