ALOR SETAR, 1 Ogos (Bernama) -- Temasya Orang Kedah (TOK) akan terus dikekalkan sebagai signature event atau acara ikonik dalam kalendar pelancongan negeri Kedah bagi tahun-tahun mendatang setelah menerima sambutan luar biasa daripada pengunjung.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata penganjuran festival berskala besar itu menjadi pemacu utama produk pelancongan domestik dalam usaha menggalakkan rakyat melancong di dalam negara, sekali gus meningkatkan ekonomi domestik dan mengurangkan aliran tunai ke luar negara.
“Sambutan memang sangat menggalakkan sejak Khamis lepas dan kita jangka jumlah sasaran pengunjung sebanyak 550,000 orang itu mampu dicapai hingga Ahad ini. Ramai pengunjung dari negeri lain juga hadir seperti Selangor dan Perak ... dari negara jiran, Thailand juga ada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Perasmian Temasya Orang Kedah 2026 di pekarangan Stadium Darul Aman, malam tadi yang disempurnakan oleh Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.
Dalam perkembangan lain, Shaharuddin berkata promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 masih berjalan lancar seperti biasa dan kedatangan pelancong juga tidak terjejas terlalu ketara susulan konflik di Asia Barat.
“Bagaimanapun, kita telah menukar strategi dengan mengutamakan negara yang tidak terlibat dengan konflik peperangan antara Amerika Syarikat dengan Iran seperti Korea, China, Australia dan negara Asia Tenggara yang lain … ketibaan pelancong luar amat menggalakkan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata penganjuran TOK buat kali keenam di Kedah itu mampu membantu meningkatkan pendapatan para usahawan di negeri ini.
“Sambutan pengunjung memang dahsyat, jadi program ini dapat bantu usahawan untuk mengembangkan perniagaan mereka dan melalui program seperti ini juga, kita harap lebih ramai usahawan tempatan dapat dilahirkan.
“Tahun ini sahaja ada 130 reruai pelbagai produk makanan, barangan disediakan bagi menarik pengunjung luar untuk turut hadir. Tahun lepas, jumlah pengunjung ke TOK kira-kira 540,000, tahun ini kita sasarkan 550,000 orang dan menjadi impian saya untuk lihat satu juta pengunjung pada penganjuran akan datang,” katanya.
-- BERNAMA