REMBAU, 1 Ogos (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berharap peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan mencapai antara 70 hingga 75 peratus.
Beliau yang juga Menteri Luar dan calon DUN Rantau berkata peratusan itu disifatkan memadai berdasarkan trend setiap pilihan raya, selain mengambil kira terdapat pengundi berdaftar yang tidak lagi menetap di kawasan mengundi masing-masing.
“Kalau kita boleh dapat peratusan keluar mengundi hari ini di Rantau dan seluruh Negeri Sembilan 70 hingga 75 peratus itu pun dah kira baguslah kerana biasanya itulah peratusan keluar mengundi pada setiap pilihan raya.
“Ramai pengundi berdaftar tidak lagi duduk di sini, sudah berpindah tetapi tidak menukar alamat mengundi. Ada juga bekas tentera dan polis yang telah berpindah selepas bersara, menyebabkan mereka sukar dikesan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau, di sini hari ini bersama isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin serta empat anaknya.
Beliau turut menggesa pengundi supaya keluar mengundi lebih awal memandangkan cuaca diramalkan hujan pada sebelah petang.
“Saya harap semua pengundi di DUN Rantau segera menjalankan tanggungjawab mengundi kerana petang diramalkan akan hujan supaya proses pengundian berjalan lancar,” katanya.
Pengundian pada PRN Negeri Sembilan yang membabitkan sebanyak 859,760 pemilih berdaftar termasuk 7,391 pengundi pos hari ini berlangsung dalam keadaan cuaca baik.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan kadar keluar mengundi antara 72 dan 75 peratus dengan keputusan dijangka diketahui seawal 10 malam, manakala keputusan penuh diperoleh sebelum tengah malam.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA